HALAMAN SANTAI

Jumaat, 11 Oktober 2019

Demi Allah, bumi ini sfera - Sheikh Muszaphar

MALAYSIAKINI

   

Memang tidak mudah untuk meyakinkan kumpulan orang yang percaya Bumi ini berbentuk rata.

Setelah menerima ribuan mesej bertanyakan tentang bentuk Bumi di media sosialnya selama ini, Dr Sheikh Muszaphar Shukor, hari ini bersumpah atas nama Allah bahawa planet ini memang benar-benar berbentuk sfera.

Menurut angkasawan pertama Malaysia itu, sumpah tersebut ditujukan kepada golongan yang percaya bahawa bumi itu rata (disebut dengan gelaran flat earthers) yang sering bertanyakan soalan itu kepadanya melalui pesanan peribadi.

Sesetengah mereka, kata Sheikh Muszaphar, ada yang berani memintanya menjawab hal itu dengan bersumpah atas nama Allah.

“Kepada semua Flat Earthers di luar sana [...]

“Tak kiralah macam mana saya terangkan pun, saya tak akan dapat meyakinkan mereka. Mereka teguh berpegang dengan ‘bukti’ mereka yang tak berasaskan fakta sebenar - itu membuatkan saya terkesima," katanya.

Sempena hari Jumaat "yang berkat ini", kata Sheikh Muszaphar, beliau mahu menegaskan apa yang dilihat dan apa yang diketahuinya mengenai Bumi.

“Dengan nama Allah saya bersumpah bahawa bumi berbentuk sfera seperti mana dilihat oleh saya di angkasa,“ katanya di Facebook hari ini.

Berpuasa di angkasa

Hantaran itu dikepilkan bersama sekeping gambar tangkap layar perbualannya dengan salah seorang pengguna media sosial yang mendesaknya bersumpah atas nama Allah bahawa bumi benar-benar berbentuk sfera.

Pengguna itu mendakwa Sheikh Muszaphar sebenarnya tidak berani berbuat demikian, dan meminta Allah menghukum sekiranya berani menipu tentang bentuk bumi.

Dalam tangkap layar itu juga, Sheikh Muszaphar bersumpah seperti yang diungkap dalam hantarannya, biarpun mengakui beliau tidak suka mempergunakan nama Allah hanya untuk membuatkan orang percaya kepadanya.

“Saya harap itu dapat menjelaskan kekeliruan. Salam Jumaat semua. Salam kasih sayang seperti selalu.
“PS: Lebih susah nak meyakinkan atau berdebat dengan orang jahil berbanding orang bijak pandai, sebab mereka tak faham asas ilmu pengetahuan,” tulisnya di akhir hantaran.
 
Flat Earthers kembali mencuri perhatian apabila kumpulan itu memanfaatkan media sosial untuk menyebarkan kepercayaan mereka, menyebabkan semakin ramai yang mengikutinya.

Melalui kemudahan itu mereka menyebarkan artikel serta video yang mengandungi bahan didakwa sebagai "bukti-bukti" bagi menyokong fahaman bahawa Bumi berbentu rata.

Antara bukti yang dipetik mereka kononnya Pentadbiran Angkasan dan Aeronautik Negara (Nasa) menipu orang ramai tentang bentuk sebenar Bumi.

Dr Sheikh Muszaphar berlepas ke angkasa pada 10 Okt 2007 dalam perjanjian antara Malaysia dan Rusia. Beliau kembali ke negara ini pada 21 Okt 2007.

Beliau merupakan orang Islam pertama menjalani ibadah berpuasa dan meraikan Aidilfitri di angkasa lepas.

Selain melakukan beberapa uji kaji saitifik ketika berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), pemergiannya ke sana turut memberi pendedahan tentang tata cara ibadat di ISS, yang dilakukan mengikut panduan pelaksanaan ibadat dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).


Tiada ulasan: