HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 Januari 2020

Tiru Taiwan hukum mati pemandu mabuk

Manzaidi Mohd Amin
Dr. Asmah razalli
Dr. Asmah razalli

KUALA LUMPUR – Sudah sampai masanya kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan dan sistem kehakiman negara mengambil tindakan serta hukuman lebih tegas terhadap pemandu mabuk.
Ia kerana kes pemandu mabuk melanggar orang awam di jalan raya sehingga meragut nyawa amat membimbangkan.

Ketua penaja Pergerakan Wirawati Putra Malaysia, Dr. Asmah Razalli berkata, tahun 2018 sahaja sebanyak 191 kes kematian berpunca daripada pemandu mabuk direkodkan dan bilangan itu terus meningkat pada 2019.

“Bilangan kes kematian akibat sikap tidak bertanggungjawab pemandu mabuk ketika memandu kenderaan sangat membimbangkan kerana nyawa orang awam yang tidak berdosa sewenangnya terkorban.

“Kita desak Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang pernah berjanji ketika sidang Dewan rakyat November tahun lalu untuk mengambil serius perkara ini dan memuktamadkan keputusan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Malaysia ketika ini hanya menggunakan hukuman dalam Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap pesalah dan sudah sampai masanya kerajaan mengkaji aspek hukuman dan undang undang lebih keras terhadap pemandu mabuk,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini, undang undang memperuntukan individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mengenakan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Dr. Asmah memberi contoh, seorang pegawai bank maut tahun lalu selepas kereta dipandunya dilanggar kenderaan dipandu pemandu mabuk di susur keluar Bandar Puteri, Klang ke Lebuh Raya Shah Alam (KESAS).

Begitu juga, katanya, kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Mohaidin Gani Mohamad, 58, maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta dipandu wanita warga China yang mabuk.

Katanya, Malaysia seharusnya senada seperti Taiwan yang merancang melaksanakan hukuman berat seperti mati terhadap pesalah memandu dalam keadaan mabuk supaya tiada yang memandang ringan isu itu.

“Memasuki tahun 2020 sahaja sudah beberapa kes kemalangan dilaporkan melibatkan pemandu mabuk memandu kenderaan yang membahayakan nyawa orang awam lain.

“Wirawati Putra sentiasa peduli dengan keselamatan rakyat dan berharap Kementerian Pengangkutan mengadakan kempen “Jangan pandu jika mabuk” serta menunaikan janji mereka untuk meminda pelaksanaan serta hukuman  lebih tegas ke atas pesalah.

“Kerajaan juga perlu memikirkan cara taktikal mengesan pemandu mabuk yang memandu secara keterlaluan dan mabuk secara berleluasa bukan amalan budaya rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: