Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah hari ini berkata kerajaan negeri menggunakan kereta jenis Mercedes-Benz sebagai kenderaan rasmi atas faktor keselamatan.
Beliau berkata penggunaan kenderaan rasmi untuk menteri besar itu telah dimulakan sejak era pentadbiran Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Sebenarnya penggunaan Mercedes-Benz ini adalah zaman Tok Guru (Nik Aziz) lagi.
"Saya masa itu exco, memang pakai Mercedes-Benz E230. Jadi kita hanya tukar Mercedes lama ke baru.
Tapi sudah menjadi isu, kita nak kata macam mana," katanya yang dipetik portal Astro Awani, hari ini.
15 Jan lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa sumber daripada kerajaan negeri Kelantan mengesahkan pembelian Mercedes Benz dengan nombor pendaftaran DV 1 adalah kenderaan rasmi baru buat kegunaan Menteri Besar, Ahmad Yakob.
Malah, dedahnya, Mercedes Benz itu turut dibeli untuk kegunaan barisan exco dan setiausaha kerajaan negeri dengan jumlah keseluruhan 14 buah.
Isu tersebut turut menjadi perdebatan dalam kalangan warganet di media sosial dan menerima kecaman pelbagai pihak.
Pada 17 Jan lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa pembelian kereta mewah itu adalah hak kerajaan Kelantan.
Sementara itu, Mohd Amar yang mempertahankan pembelian kereta mewah itu menegaskan, kenderaan bagi Exco kerajaan Kelantan tidak sama dengan model digunakan menteri besar.
"Menteri besar (MB), timbalan menteri besar dan Exco tidak menggunakan model yang sama. Bukan semua S Class seperti MB.
"MB sahaja yang berlainan, exco semua E220 dan harga untuk kerajaan ada diskaun," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan