YB SENATOR DATO’ HAJI HUSAIN AWANG
MESKIPUN telah memasuki tahun 2020, kes pegawai
Jabatan Bomba dan Penyelamat, Allahyarham Adib yang terkorban dalam
insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada November 2018 yang lalu
masih lagi tinggal tanda tanya.
Sewajarnya pihak yang
bertanggungjawab segera menyelesaikan siasatan dan memulakan prosiding
mahkamah terhadap pesalah yang terlibat. Persoalannya, mengapa ia terus
sepi sehingga ke hari ini seolah-olah tiada tindakan lanjut diambil bagi
merungkai keadilan buat Allahyarham Adib?
Tambahan pula,
penyelesaian yang diharap terhadap kes ini nampaknya semakin tipis.
Sebelum ini pihak Peguam Negara sendiri campur tangan dalam prosiding
inkues tanpa sebab yang munasabah sehingga Hakim Mahkamah Koroner
mengkritik tindakan Peguam Negara sebagai menyalahi prinsip perundangan.
Apatah lagi dengan status kes Allahyarham Adib yang masih
tergantung sehingga ke hari ini mengesahkan lagi kenyataan Hakim
Mahkamah Koroner bahawa semua ini hanyalah permainan wayang pihak
tertentu serta tidak menggambarkan keseriusan pihak bertanggungjawab
mencari jalan keadilan buat saudara Adib.
Saya menggesa pihak
berkuasa agar segera menyelesaikan siasatan kes ini dan memulakan
prosiding mahkamah secepat mungkin. Keadilan buat Allahyarham Adib perlu
dijadikan keutamaan semua pihak hari ini.
Apatah lagi,
rakyat juga tertanya-tanya sejauh mana perkembangan kes Allahyarham Adib
benar-benar dibawa ke muka pengadilan dan berapa lama lagi masa yang
perlu diambil?
Tambahan lagi, Peguam Negara tidak ada lagi
kredibiliti untuk memegang jawatan itu khususnya melibatkan kes
Allahyarham Adib disebabkan campur tangan beliau dalam prosiding serta
keputusan Mahkamah Koroner sebelum ini. Sewajarnya beliau direhatkan dan
diberikan kepada seseorang yang lebih layak untuk jawatan tersebut.
“Islam Memimpin Perpaduan”
YB SENATOR DATO’ HAJI HUSAIN AWANG
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan