HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 Januari 2020

Lebih 57 juta saman dianggarkan berjumlah RM5.7 bilion belum dijelaskan

Oleh Safeek Affendy Razali
 
Azizman (tengah) pada sidang media JSPT di Dewan Theatrette Bukit Aman. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
 
 
KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), menjangkakan sekurang-kurangnya RM5.7 bilion kutipan daripada 57 juta saman masih belum dijelaskan setakat ini oleh pesalah lalu-lintas.

Jumlah berkenaan adalah membabitkan kesalahan dilakukan dalam tempoh 10 tahun bermula 2009 sehingga tahun lalu.

Pengarah JSPT, Datuk Azisman Alias, berkata anggaran 5.7 bilion itu direkodkan berdasarkan pengiraan sekiranya setiap satu kesalahan dikenakan kadar kompaun sebanyak RM100.

“Jika jumlah ini dapat dijelaskan oleh pesalah trafik ia dapat membantu kerajaan kerana jumlahnya kutipannya mampu mencecah bilion ringgit.

“Bagaimanapun jumlah itu mungkin lebih sekiranya kita mengambil kira jumlah saman yang masih belum dijelaskan sebelum tahun 2009,” katanya dalam sidang media khas, di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata, menerusi kempen pembayaran saman trafik secara dalam talian yang dilaksanakan dengan pemberian diskaun sebanyak 50 peratus selama lima hari bermula 19 Januari lalu, pihaknya berjaya mengutip lebih RM42 juta

“Menerusi kempen tersebut, 402,714 saman sudah dijelaskan oleh pesalah trafik dengan kesalahan memandu melebihi had laju mencatatkan jumlah tertinggi dijelaskan iaitu sebanyak 64.8 peratus.

“Pelaksanaan diskaun 50 peratus menerusi kaedah e-pembayaran menerima sambutan menggalakkan bukan sahaja daripada warga tempatan tetapi juga warga asing yang ingin menjelaskan saman trafik.

Beliau berkata, berdasarkan statistik, sebanyak 1,712 saman trafik turut dijelaskan oleh warga Singapura.

Tiada ulasan: