HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 Januari 2020

Transformasi Dong Zong

LIM HONG SIANG




Penampilan Setiausaha Agung Dong Zong, Ng Chai Heng dalam forum berjudul “Jawi: Saling Memahami” mencungkil ingatan saya terhadap Dr Dzulkefly Ahmad, sebelum tahun 2015. Ng terpaksa mempertahankan Dong Zong, sebagaimana Dr Dzulkefly Ahmad terpaksa mempertahankan PAS pada lima tahun lalu – sungguhpun pendirian peribadi mereka, tidak semestinya sehaluan dengan organisasi yang diwakili mereka.

Maklumlah, selepas kekalahan teruk dalam PRU11 pada tahun 2004, PAS mula menampilkan watak-watak seperti Dr Dzulkefly, Dr Mujahid Yusof Rawa, Khalid Samad dan lain-lain, untuk menjenamakan semula PAS. Imej dan pendekatan PAS cuba disesuaikan mengikut keperluan zaman, lantas sosok-sosok tersebut menggalas misi untuk mengolah perjuangan PAS kepada khalayak umum – bukan penyokong tegar semata-mata.

Percaturan ini agak berhasil, apabila Malaysia menyaksikan tsunami politik pada 8 Mac 2008, dengan kerajaan persekutuan BN dinafikan majoriti dua pertiganya dalam Dewan Rakyat buat kali pertama, dan lima kerajaan negeri jatuh ke tangan pembangkang. PAS memasuki fasa politik baru di Malaysia bersama Pakatan Rakyat.

Namun, tidak mudah untuk sesebuah parti politik yang ditubuhkan sejak tahun 1951 memposisikan dirinya pada abad ke-21, mendepani tuntutan dan cabaran yang pelbagai. Sudah tentu ada kumpulan dalam parti yang kurang selesa apabila terpaksa mencairkan ketulenan perjuangan tradisi agar diterima lebih ramai pengundi, sementara ada kumpulan yang mendesak dengan amaran “ubah atau rebah”.

Untuk memendekkan cerita, peralihan ini gagal ditangani dengan baik, kerana ia berakhir dengan perpecahan. Kumpulan yang mendukung idea progresif, atau menampilkan keterangkuman dalam pendekatannya, disingkirkan dalam pemilihan parti, kemudian memilih untuk meninggalkan wadah PAS dan menubuhkan Amanah.

Dengan kata lain, bukan sahaja mereka gagal mentransformasikan PAS, malah wadah ini diwarisi hampir sepenuhnya oleh mereka yang lebih selesa dengan pendekatan tradisi, juga jalur politik yang lebih konservatif. Kehilangan akar umbi wadah ini, sedikit sebanyak menghakis keyakinan pemimpin Amanah ketika menggubal dasar, sungguhpun mereka berada dalam kerajaan sekarang.

Dong Zong

Ditubuhkan pada tahun 1954, Dong Zong (atau Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia) kini berdepan dengan dilema yang hampir sama.

Sebagai pengenalan ringkas, anggota Dong Zong terdiri daripada persatuan lembaga pengurus sekolah dari setiap negeri di seluruh negara. Siapakah mereka? Mereka adalah pengelola sekolah Cina, yang bertanggungjawab ke atas urusan hal ehwal sekolah, antaranya mengutip derma untuk menampung perbelanjaan sekolah.

Sebagaimana yang sedia maklum, masyarakat Cina memandang berat soal pendidikan – kerana ia dilihat sebagai satu-satunya jaminan untuk masa depan kaum minoriti. Slogannya berbunyi, biar semiskin manapun, pendidikan jangan dikedanakan. Untuk berdekad-dekad, komuniti akar umbi Cina dikerah untuk menyumbang dalam pendidikan generasi muda. Mungkin mereka sendiri berasal dari golongan yang tidak berpeluang untuk mendapat pendidikan tinggi, namun mereka sanggup berhempas-pulas demi masa depan generasi akan datang.

Semangat ini sudah tentu sedikit sebanyak didorong sentimen, jika pun perlu digelar sebagai “perkauman”. Tidak sukar untuk memahami mengapa masyarakat Cina menuntut kualiti pendidikan yang terbaik untuk anak mereka – kerana diselubungi “rasa tidak selamat” ketika berpijak di atas bumi ini.

Sekali pandang, ia agak mirip dengan “rasa tidak selamat” kaum bumiputera, yang gusar jikalau kedudukan istimewa dan kuasa politik mereka tergugat lantaran kebangkitan kaum bukan bumiputera. Namun, seandainya kita bandingkan kegusaran masing-masing, manakah yang lebih mungkin diterjemahkan kepada realiti, dalam konteks kaum bumiputera menguasai dari pasukan keselamatan hinggalah sistem penjawat awam, malah dewan perundangan?

Kedua-duanya agak tidak masuk akal untuk ramai dalam kalangan kita, tetapi suasana politik memberi gambaran sebaliknya, lebih-lebih lagi apabila ditafsirkan oleh mereka yang berlegar-legar dalam kelompok sendiri. Saraf mereka tercungkil apabila diugut dengan pelucutan kewarganegaraan, malah digelar pendatang pun sudah cukup terkesan buat mereka. Dalam situasi di mana kepercayaan tidak terbina antara satu sama lain, sudah tentu setiap dasar mahupun langkah yang diambil kerajaan, akan dikaitkan dengan seribu satu teori konspirasi.

Inisiatif Dong Zong

Persoalannya, Malaysia telah memasuki tahun 2020, dan mustahil kita melihat apa yang berlaku sekarang dengan kanta mata abad ke-20, apatah lagi kita telah mengalami pertukaran kerajaan persekutuan buat kali pertama dalam sejarah pada tahun 2018.

Cabarannya, siapa yang cukup berpengaruh dan berwibawa untuk memimpin perubahan minda dalam masyarakat Cina? Sungguhpun meraih sokongan tinggi dalam PRU14, DAP kini lebih dilihat sebagai badan berkepentingan – mengetengahkan idea yang bertentangan dengan retorik politik yang pernah didendangkan mereka sebelum memegang kuasa, akan ditafsir sebagai “cakap tak serupa bikin”. Dari “munafik” hinggalah “oportunis”, pemimpin DAP kini dibedil dengan kritikan “tunduk kepada hegemoni Melayu” – sama ada melutut di depan pemimpin Melayu, ataupun cuba memikat hati pengundi Melayu.

Dengan kata lain, pemimpin DAP tidak memiliki asas moral untuk mengemudi perubahan minda masyarakat Cina. Motifnya akan dicurigai, malah kegusaran masyarakat Cina kekal tidak terungkai.

Ia dapat diperlihatkan apabila pemimpin DAP menyeru agar masyarakat Cina berfikir di luar kerangka “Cina” untuk menerima pengenalan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan, lantas disanggah dengan sindiran “Mengapa tidak DAP menyeru agar Dr Mahathir berfikir di luar kerangka ‘Melayu’, agar beliau tidak menghadirkan diri di Kongres Maruah Melayu?”

Justeru itu, suka atau tidak, pertubuhan seperti Dong Zong memainkan peranan yang penting dalam masyarakat Cina. Barangkali kewibawaannya terhakis lantaran konflik dalaman untuk satu dekad kebelakangan, tetapi Dong Zong tetap memiliki pengaruh dalam kalangan masyarakat Cina, kerana isu pendidikan tetap menambat hati masyarakat akar umbi, termasuk generasi muda di luar ibu kota.

Untuk makluman, pemilihan Dong Zong yang berlangsung pada Jun 2018 telah menyaksikan rombakan, dengan beberapa orang pemimpin yang berikhtiar untuk membawa perubahan terpilih ke dalam saf pimpinan baru. Kesannya boleh dirasai apabila Dong Zong bekerjasama dengan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) untuk menjayakan forum “Bahasa Jiwa Bangsa” pada November 2018, di samping menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang bahasa dan sastera – dalam suasana “Malaysia Baru” ketika itu.

Malah, Jawatankuasa Kepelbagaian Kaum dan Budaya telah ditubuhkan oleh Dong Zong, sebagai usaha untuk mempergiatkan aktiviti silang budaya. Hakikatnya, Dong Zong telah mengadakan satu kem muhibah, bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) pada Disember 2019. Kem ini disertai pelajar sekolah agama, sekolah persendirian Cina, sekolah menengah vokasional, sekolah kebangsaan dan sekolah antarabangsa – sebagai usaha untuk meruntuhkan tembok kaum dalam kalangan generasi muda. Malangnya, aktiviti yang bermakna ini ditenggelamkan oleh isu Jawi yang hangat membakar ketika itu.

Haramkan Dong Zong?

Beberapa persoalan untuk direnungi bersama. Pertama, apakah kita wajar memberi masa dan peluang untuk segelintir pemimpin dalam Dong Zong agar organisasi yang terulung ini dapat ditransformasikan, memandangkan perubahan tidak berlaku dalam sekelip mata?

Kedua, apakah hubungan kaum boleh bertambah baik, dengan pengharaman Dong Zong? Bukankah ia boleh menjadi satu langkah provokasi, menebalkan lagi tanggapan bahawa kerajaan ini sememangnya menganaktirikan komuniti Cina? Seandainya senario ini berlaku, bukankah ia memberi kesempatan kepada pemimpin yang lebih agresif untuk mengapi-apikan sentimen Cina, lantas menjurus kepada konflik yang lebih meruncing dan merobekkan hubungan masyarakat?

Atau, kita sebenarnya boleh mengheret Dong Zong untuk keluar dari kepompongnya, menyesuaikan diri dengan senario Malaysia yang baru? Bukankah suasana pertentangan boleh diredakan,
seandainya inisiatif Dong Zong dalam program silang budaya disambut baik, malah ditonjolkan?

Daripada menyindir dan mengutuk penguasaan bahasa Melayu sesetengah pemimpin Dong Zong yang agak lemah, bukankah lebih positif andainya kita menggalakkan mereka untuk menggunakan dan memperbaiki bahasa Melayu-nya?

Saya tidak mempertahankan semua langkah Dong Zong, atau pandangan masyarakat Cina. Ada yang prejudis, ada juga yang chauvinis. Tetapi saya cuba menyelami dan memahami apakah punca sebenarnya yang menjurus kepada situasi sedemikian, sebagaimana saya cuba memahami kegusaran masyarakat Melayu-Muslim, dan cuba memahamkan masyarakat Cina akan kebimbangan masyarakat Melayu-Muslim. Kesemua mereka adalah sebahagian daripada Malaysia.

Kesimpulannya, transformasi Dong Zong memerlukan sokongan semua, sebagaimana transformasi Malaysia tidak akan berjaya seandainya organisasi atau komponen masyarakatnya enggan ditransformasikan. Bolanya di kaki kita, apakah kita mahu transformasi Dong Zong dijayakan, atau digagalkan?

* LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif SAUDARA (penyelidikan sosio budaya).


Tiada ulasan: