Pemimpin Bersatu dan Umno mengkritik keputusan Peguam Negara Tommy Thomas untuk menghentikan prosiding terhadap 12 individu yang didakwa terlibat dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Timbalan Pengerusi Bersatu Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen mendakwa Thomas menyalahgunakan kuasanya.
"Peguam negara sudah mencampuri urusan Eksekutif, menteri dalam negeri dan boleh dianggap sebagai menyalahgunakan kuasanya," katanya di Facebook.
Dalam kenyataan sepanjang 11 halaman, Thomas berkata tema umum kesemua 12 individu tersebut adalah mereka hanya memiliki gambar pemimpin LTTE, seperti Velupillai Prabhakaran yang terbunuh pada 2009, sama ada di telefon atau Facebook.
LTTE dibubarkan pada 2009 selepas ditewaskan tentera Sri Lanka.
Exco
Pemuda Bersatu Muzzammil Ismail juga berkata keputusan Thomas telah
mencabar kewibawaan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.
"Kesan kepada pengguguran (kes) ini menyebabkan rakyat menjadi sangsi dan tidak yakin terhadap sistem perundangan dan kekukuhan politik kerajaan PH," katanya dalam kenyataan.

"Memang peguam negara ada kuasa untuk menentukan prosiding suatu kes namun isunya di sini adakah tindakannya dapat melangkaui perdana menteri atau menteri dalam negeri?
"Hal yang lebih besar adalah persepsi rakyat terutama orang Melayu terhadap kerajaan sekarang semakin merosot kerana keputusan sebegini dilihat berat sebelah," katanya lagi.
Sementara itu, Exco Pemuda Umno Mustafa Shah Abdul Hamid berkata Thomas telah "memporak-porandakan undang-undang negara" dan perlu meletakkan jawatan dengan segera.
"Saya pasti ramai yang geleng kepala dengan keputusan diambil oleh peguam negara. Ini isu serius kerana membabitkan keselamatan negara.
"Soal keselamatan negara serta rakyat tidak boleh dikompromi dan peguam negara telah membuat satu keputusan yang menyuntik kebimbangan rakyat terhadap soal keselamatan negara," katanya dalam kenyataan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan