UMNO ONLINE
KUALA
LUMPUR – Tindakan Peguam Negara Tommy Thomas Jumaat lalu telah
membuka ruang yang mempersoalkan kewibawaan pelbagai institusi
keselamatan dan perundangan, ujar Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed
Khaled Nordin.
Katanya, yang lebih membimbangkan ialah kesannya kepada strategi pembanterasan keganasan di Malaysia.
“Kepentingan hak asasi dihormati adalah penting dalam memerangi
keganasan tetapi ia mesti diimbangi dengan kepentingan keselamatan
nasional secara kolektif,” tambahnya dalam satu kenyataan.
Tommy
dalam satu kenyataan pada Jumaat, 21 Feb. mengumumkan pembebasan 12
tertuduh di bawah kesalahan menyokong kumpulan pengganas Harimau
Pembebasan Tamil Ealam (LTTE) berkuat kuasa serta-merta dengan alasannya
ialah “tiada prospek yang realistik untuk mensabitkan tertuduh dengan
kesalahan.”
Justeru tegas Khaled, keputusan Tommy itu menimbulkan beberapa
persoalan dan implikasi yang memerlukan penjelasan terperinci kerajaan
Pakatan Harapan (PH).
“Keputusan ini dibuat setelah kesemua 12 suspek telah pun ditangkap,
didakwa dan dipenjarakan tanpa jaminan untuk beberapa bulan.
“Malah pihak pendakwaan bersungguh-sungguh menentang permohonan jaminan atas dasar kepentingan keselamatan negara.
“Semua ini menimbulkan rasa sangsi masyarakat terhadap kewibawaan
proses pendakwaan jika tahap pensabitan adalah diragui akhirnya,”
katanya.
Tambahnya lagi, keputusan tersebut memerlukan kerajaan mengkaji semula dasar pembanterasan keganasan di negara ini.
“Menyimpan kerana mengidolakan dan menyimpan kerana menyokong apa jua
material berkaitan dengan individu, ideologi atau pergerakan pengganas
adalah kesalahan yang disepakati oleh masyarakat keselamatan global.
“Ia telah dijadikan undang-undang di pelbagai negara termasuk
Malaysia dengan tujuan pembanterasan dan pencegahan apa jua elemen yang
boleh menjurus kepada radikalisasi.
“Keputusan Tommy ini jelas bercanggah dengan konsesus global dalam menangani radikalisme dan dasar anti keganasan,” bidasnya.
Jelas Khaled lagi, keputusan itu jelas telah merendahkan wibawa dan kompetensi institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“PDRM telah secara konsisten menegaskan bahawa tangkapan suspek
pengganas LTTE dibuat berdasarkan bukti-bukti yang mencukupi berdasarkan
risikan yang lama dan menyeluruh.
“Malah, pertuduhan terhadap suspek juga telah dibuat dan dilakukan oleh pihak Pejabat Peguam Negara sendiri.
“Rasional apakah yang boleh ditawarkan oleh Peguam Negara dalam
menyelamatkan wibawa dan kompetensi siasatan Polis dan tindakan pegawai
pendakwaan yang jelas selari dengan peruntukan undang-undang,” soalnya.
Seterusnya soal Khaled lagi, adakah kes tersebut akan menjadi
permulaan bagi semakan semula semua kes-kes lain yang diletakkan di
bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Bagaimana pula pendakwaan dan pensabitan yang dikenakan ke atas
pelbagai individu lain yang menyokong dan mempromosi kumpulan pengganas
lain seperti The Islamic State (IS) dan Jemaah Islamiyyah sebelum ini.
“Tindakan terbaru Peguam Negara mewajarkan semua kes tersebut disemak
dan digugurkan juga di atas sebab “tiada prospek realistik” untuk
mensabitkan mereka hanya kerana mereka “mempunyai gambar dan barangan
orang yang mereka kagumi”,” katanya.
Terangnya lagi, walaupun Seksyen 66(b)(9) AMLA memperuntukkan kajian
semula setiap 6 bulan oleh Menteri bagi pengisytiharan sesuatu entiti
sebagai kumpulan pengganas, setakat ini LTTE masih lagi di dalam senarai
organisasi kumpulan pengganas di bawah undang-undang Malaysia.
“Maka ia adalah kumpulan pengganas dan kedudukan ini tidak berubah sehingga pindaan dilakukan.
“Saranan Tommy yang menyeru Menteri Dalam Negeri untuk menyemak
semula perintah yang membabitkan kumpulan LTTE sebagai kumpulan
pengganas yang telah digazetkan pada November 2014 dalam AMLA tidak
boleh dilaksanakan sehingga satu dasar ‘Proscription’ yang jelas
digubal,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan