Bernama
KIANDEE: Ia merupakan perkara penting yang harus dipertimbang oleh
gabungan parti untuk menghadapi PRU15. - Gambar fail
KOTA KINABALU:
Kesepakatan antara parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terutama
isu pembahagian kerusi Parlimen memainkan peranan penting dalam
memastikan kemenangan calonnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)
nanti.
Naib Presiden Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ronald Kiandee berkata apa sahaja
cadangan jumlah kerusi ingin ditandingi yang dikemukakan ketika ini oleh
parti komponen GRS hanyalah daripada perspektif parti itu sahaja.
"Ia
harus dilihat dalam perbincangan gabungan parti (dalam GRS)... ia
merupakan perkara penting yang harus dipertimbang oleh gabungan parti
untuk menghadapi PRU15," katanya yang juga Menteri Pertanian dan
Industri Makanan kepada pemberita di sini semalam.
Terdahulu,
beliau dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan,
yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, mengadakan pertemuan
dengan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
Baru-baru
ini, Pengerusi UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung
Moktar Radin dilaporkan berkata BN menyasarkan untuk bertanding di
sekurang-kurangnya 14 daripada 25 kerusi Parlimen negeri itu pada PRU15.
Jeffrey,
yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Timbalan
Pengerusi GRS, pula berkata setiap parti mempunyai hak untuk meletakkan
jumlah kerusi yang ingin ditandingi pada PRU15, bagaimanapun perkara itu
harus dibincangkan bersama bagi mencari persefahaman.
GRS
dianggotai Perikatan Nasional (Bersatu, STAR, SAPP dan PAS), Barisan
Nasional (UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah) dan Parti
Bersatu Sabah (PBS).-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan