HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 Februari 2021

Nak sertai UMNO semula kena masuk bengkel atau kelas – Ku Nan

Wartawan MalaysiaGazette
MGF27062020_MAJLIS-PENYERAHAN-SURAT-PELANTIKAN-MPPWP11
Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR – Mana-mana pemimpin yang mahu kembali menyertai UMNO perlu masuk bengkel atau kelas dahulu bagi memahami asas dan tujuan penubuhan parti itu.

Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, mereka perlu memahami dan menghayati setiap nilai perjuangan parti ini kerana tidak adil kepada mana-mana individu untuk berpatah balik semudah membuat u-turn di atas jalan raya.

Menurut beliau, biarpun pentas politik sentiasa berubah namun ketegasan terhadap mereka yang bermuka-muka perlu dilaksanakan kerana tentulah tak wajar pada mana-mana individu yang menjilat ludah untuk diangkat sebagai teraju.

Walhal anggota yang kekal bersetia saat susah dan senang hanya memandang dan diminta menerima.

”Memang, kita perlu kembali berpadu demi agama dan bangsa, kita mesti teguh dan kukuh, kita bersaudara dan tidak perlu bermusuhan, tetapi setiap masa yang berlalu selepas tarikh 9 Mei 2018 bukanlah satu kemanisan dan mesti dinilai dengan kesetiaan dan pengorbanan.

”UMNO ditekan, dihimpit, dinafikan dalam pelbagai aspek. Akaun dibekukan dan mana-mana pemimpinnya yang masih setia pada perjuangan hakiki diheret ke mahkamah atas macam-macam pertuduhan yang ada diantaranya di luar kewarasan akal fikiran.

”Tuduhan tanpa asas tiba-tiba menjadi realiti. Sakit perit tapi patah sayap tetap bertongkat paruh kerana percaya bahawa asas perjuangan adalah demi Lillahi Taala,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dalam kenyataannya itu, Ahli Parlimen Putrajaya yang mesra disapa Ku Nan mengakui beliau berasa pelik kerana sejak beberapa hari ini kedengaran suara-suara yang menyatakan masih sayangkan UMNO.

Tiada ulasan: