HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Mei 2021

DAP perkuda Amanah, PKR untuk pecah undi Melayu

AGENDA DAILY

Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad melihat DAP sedang memperkuda beberapa parti Melayu bertujuan memecah undi.

Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad melihat DAP sedang memperkuda beberapa parti Melayu bertujuan memecah undi, setelah mereka yakin mampu memperoleh 100 peratus undi bukan Melayu.

Katanya, DAP berusaha untuk kembali ke Putrajaya dan menjadi kerajaan, namun mereka berdepan kesukaran untuk mendapat undi Melayu.

Oleh itu katanya, DAP berusaha mencari jalan bekerjasama dengan parti yang boleh memecah undi Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“DAP tahu, mereka solid akan dapat sokongan orang bukan Melayu terutama pengundi Cina. Cuma undi Melayu payah sikit, harapan mereka mesti cari jalan supaya parti yang boleh pecah undi Melayu kalau hendak berkuasa di Putrajaya di dalam PRU15,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, DAP tahu jika Melayu berpecah, peluang untuk berkuasa semula di Putrajaya cerah, tetapi harapan mereka akan punah sama sekali jika Melayu bersatu.

Idris berkata, pada PRU14 DAP dan Pakatan Harapan (PH) menggelar UMNO sebagai kleptokrasi dan sekarang cuba memancing UMNO setelah gagal mendidik parti Amanah sebagai pengganti PAS.

“Ahli UMNO yang terkenal sebagai ahli yang cukup anti-DAP, tidak akan menerima pelawaan dan jajaran ini. PAS sudah ada pengalaman. Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) sudah ada pengalaman. Bersatu sudah ada pengalaman dengan DAP,” katanya.

Semalam, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata parti itu sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk UMNO jika tiada parti yang berjaya membentuk kerajaan selepas PRU15.

Bagaimanapun, beliau menegaskan UMNO, Warisan atau mana-mana parti yang hendak bekerjasama dengan PH mesti menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

Tiada ulasan: