HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Mei 2021

Defisit kerajaan pecah rekod – Najib

Wartawan MalaysiaGazette
MGF10102020_TEMUBUAL-EKSLUSIF-DS-NAJIB09
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak hairan mengapa hasil kerajaan pada suku pertama 2921 jauh lebih rendah iaitu RM49.5 bilion manakala perbelajaan lebih tinggi sebanyak RM86.6 bilion sedangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 didakwa dilakukan ‘separuh masak’ berbanding PKP 1.0.

Bekas perdana menteri dan menteri kewangan itu berkata, beliau hairan kerana ketika PKP 2.0 banyak kelonggaran bagi sektor-sektor ekonomi, malah harga minyak pula hampir tiga kali ganda dan bantuan bagi PKP 2.0 tidak seberapa.

Akibatnya, defisit kerajaan bagi suku pertama tahun 2021 semasa darurat dilaksanakan adalah paling tinggi dalam sejarah Malaysia iaitu RM37.1 bilion.

Sedangkan semasa pelaksanaan PKP 1.0 pada suku kedua tahun lalu defisit kerajaan berjumlah RM24.6 bilion sahaja.

Pada tempoh tersebut, kerajaan merekodkan hasil sebanyak RM56.5 bilion dan perbelajaan pula RM81 bilion.

Tetapi ketika itu, PKP 1.0 yang sangat ketat dilaksanakan dan bantuan kerajaan kepada rakyat untuk menghadapi PKP adalah paling tinggi, kata Najib.

Menurut beliau, defisit keseluruhan tahun 2020 ialah RM86.5 bilion (2019: RM51.5b) manakala jumlah defisit diluluskan dalam bajet 2021 adalah RM84.8 bilion.

”Ini baru masuk suku pertama (3 bulan), defisit kerajaan dah sebanyak 44% daripada defisit RM84.8b bagi keseluruhan bajet tahun 2021 yang diluluskan?

”Jika trend defisit suku pertama diteruskan, defisit bagi keseluruhan tahun 2021 akan melepasi RM148 bilion (iaitu RM64b lebih tinggi berbanding unjuran dalam bajet 2021) yang keseluruhannya akan dibiayai melalui penambahan hutang negara.

”Hasil kerajaan suku 1 tahun 2021 sebanyak RM49.5b pula di bawah unjuran dan hanya 21% daripada andaian kerajaan bagi keseluruhan tahun 2021 sebanyak RM236.9 bilion,” ujarnya.

Soal beliau, adakah situasi semasa ini berlaku akibat pelaburan asing tak masuk semasa darurat.

Tegas beliau, adalah penting perbelanjaan kerajaan dipantau dalam Parlimen tapi Akta Kewangan kerajaan digantung melalui ordinan darurat pula.

”Akibatnya hasil kerajaan menjunam manakala perbelanjaan kerajaan dan defisit kerajaan pecah rekod pada ketika bantuan untuk rakyat bagi PKP 2.0 tak seberapa,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: