HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Mei 2021

Gerak 98 tanding kerusi DUN Kedah, Selangor – Ezam

Kumara Sabapatty
MGF_02052021_GERAK98-PELANCARAN-BUKU_08
Pengasas Gerak98, Ezam Mohd Nor menunjukkan buku yang dilancarkan pada Pelancaran Buku Gerak98 “Melawan Elit Yang Membelit Umat” di De Palma Hotel, Ampang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK

KUALA LUMPUR – Gerak 98 hari ini secara rasminya mengisytiharkan pihaknya akan bertanding sebanyak 46 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor dan Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengasasnya, Ezam Mohd Nor berkata, kawasan yang akan ditandingi beliau dan calon-calon Gerak 98 adalah kawasan calon sekutu Ahli Parlimen Gombak yang juga ADUN Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kedah dan Selangor menjadi pilihan utama untuk PRU kali ini bagi Gerak 98 kerana kami mendapati ancaman reformasi terbesar bertapak di dua negeri ini.

“Kedah masih lagi menjadi tapak utama bagi musuh nombor satu reformasi Tun Dr. Mahathir Mohamad manakala Selangor masih bersarang kuat dengan kuncu-kuncu Azmin Ali yang berpotensi besar merosakkan reformasi selepas PRU-15 nanti,” katanya dalam sidang media khas pelancaran buku Melawan Elit Yang Membelit Umat di Ampang hari ini.

MGF_02052021_GERAK98-PELANCARAN-BUKU_06
Pengasas Gerak98, Ezam Mohd Nor bercakap pada Pelancaran 
Buku Gerak98 “Melawan Elit Yang Membelit Umat” di De Palma
Hotel, Ampang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK

Tambah Ezam, calon Gerak 98 kesemuanya akan bertanding sebagai calon bebas di kesemua 46 kerusi iaitu pecahan 10 kerusi kuncu Mohamed Azmin dan hampir kesemua 36 kerusi di negeri Jelapang Padi.

Malah katanya perkara berkaitan perihal logo Gerak 98 akan diumumkan selepas Parlimen dibubarkan secara rasminya untuk memberi laluan kepada proses pilihan raya yang dijangkakan bila bila masa selepas pertengahan tahun ini.

Ditanya mengenai potensi bertanding di kerusi Parlimen kedua-dua negeri itu, katanya, pihaknya buat masa ini memfokuskan kepada kerusi DUN.

Ujar beliau, setiap pemimpin dalam Gerak 98 di kedua-dua negeri ini kini mula dikenali ramai ketika berada di lapangan selain sudah banyak memperjuangkan hak rakyat sejak ditubuhkan pada tahun 2007.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan akan meletakkan calon di negeri-negeri lain selain daripada Kedah dan Selangor yang dinyatakan sebentar tadi.

“Salah satu agenda Gerak 98 adalah juga hendak memastikan tidak ada ‘katak’ dalam Gerak 98 nanti dan kami akan memastikan tiada ruang untuk katak politik dan sekiranya memerlukan mekanisme undang-undang untuk dikawal selia maka kita akan lalukan dan kita tidak akan berkompromi.

“Calon bebas kami sedia bekerjasama dengan semua NGO semasa dan selepas bertanding serta menjadi wakil rakyat nanti demi memastikan agenda reformasi kami benar-benar terlaksana,” tegasnya.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: