KUALA LUMPUR – Hari ini genap tiga tahun Kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 di mana ekonominegara menjadi lebih teruk apabila diperintah oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, harapan tinggi rakyat jelas meleset apabila pelbagai janji sebelum pilihan raya tidak berjaya ditepati malah lebih teruk banyak aset negara telah dijual.
“Hari ini, genap 3 tahun kerajaan BN kalah PRU-14. Mesti ramai yang ingat bila BN tidak memerintah, negara akan lebih baik. Rupanya lebih teruk apabila Atuk dan geng PH memerintah.
“Sebelum dapat mandat, macam-macam janji bulan bintang ditabur. Sampai menjanjikan hutang PTPTN akan dihapuskan.
“Rupanya-rupanya yang dihapuskan adalah aset strategik negara yang dikumpul oleh kerajaan BN. Mereka kata “manifesto bukan kitab suci”, katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya di sini hari ini.
Najmil Faiz yang Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu berkata, apabila kini Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih yang diterajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), muncul pula idea untuk mencetak wang dan diagihkan kepada rakyat.
Kata beliau, UMNO hanya berada dalam PN hanya sementara demi melindungi keselamatan rakyat daripada pandemik Coviod-19.
“Kini, zaman kerajaan PN pula yang dipimpin BERSATU. Ada pula idea nak cetak wang agih pada rakyat.
“Matlamat UMNO dalam kerajaan PN hanyalah sementara dan mengikut saranan Tuanku Agong untuk bantu melindungi nyawa dan keselamatan rakyat dari berlakunya PRU dalam pandemik Covid-19.
“Apa pun kita balik asal pada PRU-15 akan datang. Undi BN, kita bina semula negara. Selamat petang dunia tipu tipu,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan