KOTA KINABALU: Pemimpin PKR dan DAP di Sabah mempersoal keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan penutupan beberapa pusat membeli-belah secara mengejut, semalam.
Ketua Penerangan PKR Saba, Razeef Rakimin berkata, keputusan terburu-buru yang diambil kerajaan itu bakal “membunuh” peniaga dalam usaha memulihkan ekonomi, lebih-lebih lagi pada ambang Aidilfitri.
”Ramai peniaga terjejas sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu dan ramai pekerja runcit hilang pekerjaan kerana tidak mampu ditampung oleh majikan atau majikan ‘gulung tikar’.
”Sambutan Aidilfitri merupakan peluang terbaik untuk peniaga memulihkan perniagaan mereka dan bangkit daripada krisis ekonomi yang melanda lebih setahun lepas.
”Pengumuman penutupan premis perniagaan yang terburu-buru ini akan merencatkan usaha peniaga memulihkan ekonomi serta akan ‘membunuh’ perniagaan mereka apatah lagi pada ambang Aidilfitri yang sepatutnya menjadi peluang terbaik untuk meraih lebih pendapatan serta menutup kerugian yang dialami sepanjang pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan.
Razeef turut mempersoalkan kriteria kesemua premis atau lokasi yang disenaraikan dalam sistem amaran awal kerajaan atau Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) yang bukan kluster penyebaran Covid-19.
”Di Sabah, lokasi atau premis yang terlibat adalah pusat membeli-belah Centre Point, Suria Sabah dan Kompleks Karamunsing.
“Para peniaga yang berniaga di Centre Point dan Kompleks Karamunsing kebanyakannya bukanlah perniagaan besar dan berjenama mewah, tetapi lebih kepada perniagaan kecil dan menjual barangan mampu milik.
”Pada Januari lalu saya ada melakukan lawatan ke beberapa premis perniagaan di pusat membeli-belah ini untuk bertemu dengan peniaga dan ramai di antara mereka terkesan, tidak terkecuali juga ada yang terpaksa ‘gulung tikar’.
“Mereka juga menyatakan keyakinan memulihkan ekonomi perniagaan mereka menjelang Aidilfitri tahun ini.
”Saya yakin penutupan premis perniagaan walau hanya tiga hari pada ambang Aidilfitri akan merencatkan proses pemulihan ekonomi serta bakal ‘membunuh’ beberapa premis kecil yang mengharapkan keuntungan jualan Hari Raya,” katanya.
Sementara itu Ketua Pemuda DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, notis penutupan tiga pusat beli-belah di Kota Kinabalu sangat mengejut dan tidak patut.
Katanya, tindakan MKN mengeluarkan notis pada jam 11.20 malam terlalu melulu dan tidak memberi peluang langsung kepada peniaga untuk bersedia.
”Mana boleh macam ini, pusat membeli-belah dan perniagaan mesti kelam kabut dan bingung, langsung tiada masa bersedia.
”Memang saya sokong usaha untuk putuskan rangkaian Covid-19, tetapi janganlah buat notis pada saat akhir.
“Lebih melampau, pada mulanya menteri mengatakan HIDE cuma untuk pantau sahaja, bukannya tutup.
”Tapi pagi semalam, menteri beritahu tutup dengan serta merta. Lepas itu tidak sampai satu hari, ‘U-turn’ beritahu berkuat kuasa 10 Mei.
“Apabila saya mendapatkan respons daripada MKN Sabah, mereka beritahu belum ‘finalized’ pula. Rakyat bingung,” katanya di Facebook semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan