HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Oktober 2021

Dr Yusof masih lagi ADUN Sindumin – Speaker

Datuk-Dr-Yusuf-Yacob
Datuk Dr Yusof Yacob

KOTA KINABALU – Datuk Dr Yusuf Yacob masih lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin walaupun beliau bukan lagi ahli Parti Warisan Sabah (Warisan) selepas beliau meninggalkan parti itu pada 8 Okt lepas, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Kadzim M Yahya.

Kadzim berkata beliau telah menerima tiga dokumen daripada Dr Yusof dan berjumpa dengan beliau pada 11 Okt lepas sementara Warisan atau ejennya mengemukakan dua dokumen berkenaan status DUN Sindumin.

“Bagi menentukan status kerusi itu, berpandukan dokumen yang dihantar kepada saya, perjumpaan pada 11 Okt, undang-undang sedia ada kekal dan dalam kes ADUN Sebatik yang serupa dengan isu yang sedang diberi perhatian.

Justeru berdasarkan perkara itu, walaupun Dr Yusof bukan lagi seorang ahli parti politik iaitu Warisan kerusi DUN Sindumin, bukan kerusi yang kosong…Dr Yusof masih lagi ADUN Sindumin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kadzim berkata antara dokumen yang diterimanya ialah akuan berkanun daripada Dr Yusof pada perjumpaan 11 Okt itu yang mengisytiharkan antara lain bahawa beliau menarik balik segala ikrar yang dibuat dengan Warisan sebelum Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 pada tahun lepas, termasuk ikrar untuk mengosongkan kerusi DUN Sindumin sekiranya beliau meninggalkan Warisan.

Dr Yusof yang merupakan bekas Ketua Penerangan Warisan, meninggalkan parti itu untuk menjadi wakil rakyat bebas dan menyokong Kerajaan Negeri Sabah pada masa ini di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pada 25 Feb, ADUN Sebatik Hassan A Gani Pg Amir meninggalkan Warisan untuk menjadi wakil rakyat bebas dan menyokong Kerajaan Negeri Sabah di bawah GRS dan pada 3 Mac, Kadzim mengumumkan Hassan masih lagi ADUN Sebatik.

Pada 7 April Warisan memfailkan saman terhadap Hassan di Mahkamah Tinggi, mengharapkan satu keputusan yang akan membuatkan Hassan mengosongkan kerusi yang disandangnya sebagaimana diikrarkan sebelum Pilihan Raya Negeri.- BERNAMA

Tiada ulasan: