HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Oktober 2021

Larangan aktiviti politik, SISMEP akan ‘bertemu’ pengundi Melaka, kata Azmin

 

Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai sebarang masalah untuk menghormati larangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar tidak berhimpun atau mengadakan majlis sosial sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ini kerana, menurut Pengarah Pilihan Rayanya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, PN akan menggunakan sistem yang dibina sendiri bagi mendekati pengundi sepanjang tempoh berkempen nanti.

Sistem yang diberi nama Sistem Menang Pilihan Raya (SISMEP) itu dibangunkan pihaknya dan akan digunakan sepenuhnya oleh PN.

Walaupun tiada kempen ziarah rumah ke rumah, Azmin berkata ia tidak menjadi masalah kerana SISMEP akan “bertemu” dengan para pengundi setempat menggunakan teknologi terkini bagi menyampaikan maklumat tepat dan bermanfaat kepada pengundi PRN Melaka. 

“SISMEP ini merupakan Sistem Menang Pilihan Raya yang pernah saya perkenalkan dalam PRU 14 lalu dan sekarang kita telah tambah baik menggunakan teknologi terkini dengan data-data sedia ada khususnya data daftar pemilih dan juga data lain yang kita gabungkan.

“Sekiranya SOP menetapkan tidak ada ziarah rumah ke rumah, tiada ada ceramah umum maka SISMEP boleh bertemu dengan pengundi menggunakan tekonologi ini untuk menyampaikan maklumat tepat untuk dimanfaatkan kepada pengundi dalam PRN Melaka,” katanya dalam laporan MalaysiaGazette.

Hari ini KKM mengeluarkan kenyataan bahawa sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya adalah tidak dibenarkan, termasuklah penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya. Larangan ini akan mula berkuatkuasa pada 25 Oktober hingga 27 November 2021.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, larangan itu bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dan peningkatan kes secara mendadak akibat aktiviti berkenaan.

Untuk rekod, ini adalah pelaksanaan kali pertama perkara seumpama itu diambil kerajaan selepas PRN Sabah yang menyebabkan gelombang ketiga penularan Covid-19 di negara ini.

PRN Melaka dijadualkan berlangsung pada 20 November, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 18 November sementara tempoh berkempen adalah 12 hari. 

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, PN sudah bersedia untuk menghadapi pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu itu dan akan akur.

“Kita akan lihat perincian SOP yang baharu, saya percaya akan dibentangkan biasanya dalam Majlis Keselamatan Negara di mana KKM akan memberikan input dan pandangan mereka tentang situasi semasa.

“Memang KKM akan juga membentangkan penilaian risiko sekiranya sekiranya dibenarkan gerak kerja PRN dan MKN akan ambil ketetapan tentang apakah pendekatan yang terbaik.

“Sudah tentu sebagai sebuah kerajaan kita bertanggungjawab melindungi dan menjaga kesihatan rakyat sebagia keutamaan kita tetapi ini sesuatu keadaan yang kita tidak mahu adakan PRN namun setelah berlaku PRN kita terpaksa berdepan maka kita bersedia untuk menggunakan SOP yang baharu untuk mendekati pengundi,” katanya lagi.

Tiada ulasan: