HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Oktober 2021

Najib yakin BN pertahan 5 kerusi DUN di Parlimen Masjid Tanah

 Kamariah Khalidi

MGF241021_NAJIB-RAZAK-ZIARAH-KASIH_04
Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Ketua Menteri Melaka sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (kiri) bertanyakan sesuatu dengan pesara tentera, Sohaimi Omar, 64 (dua kanan) pada Program Ziarah Kasih di Londang, Masjid Tanah, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK

MASJID TANAH – Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak yakin parti itu dapat mempertahankan kelima-lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Kelima-lima kerusi DUN tersebut adalah Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu dan Taboh Naning.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, tinjauan dalam kalangan rakyat tempatan menunjukkan respon yang positif terhadap parti.

“Setakat apa yang saya dapat tinjau, amat positif. Boleh dikatakan kawasan Masjid Tanah ini merupakan kubu kuat kepada BN dan kelima-lima DUN dalam PRU (Pilihan Raya Umum Ke-14) dulu kita menang.

“Parlimen pun kita menang tapi Ahli Parlimen (Masjid Tanah) itu sudah melompat ke parti lain. Ini menunjukkan dalam keadaan tsunami politik pada ketika itu (PRU) kita masih menang semua DUN di sini.

“Insya-Allah dengan keadaan hari ini yang bertambah baik, (ada) tanda-tanda kita dapat pertahankan kelima kerusi DUN khususnya di kawasan Masjid Tanah ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Ziarah Kasih di Kampung Bukit Beringin di sini hari ini.

MGF241021_NAJIB-RAZAK-ZIARAH-KASIH_02
Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Ketua Me
nteri Melaka sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (dua kanan) 
dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri 
Ab Rauf Yusoh (kanan) bertanyakan sesuatu dengan bekas Pegawai 
JASA, Abdul Malek Siron, 63, pada Program Ziarah Kasih di 
Pengakalan Balak, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pekan itu meluangkan masa lebih setengah jam beramah mesra dan bersarapan bersama penduduk setempat di Abah Shan Station.

Tiada ulasan: