HALAMAN SANTAI

Khamis, 7 Oktober 2021

No way Bersatu, kata Zahid, UMNO bertanding secara solo


Selepas yakin UMNO dapat menyapu bersih semua kerusi, Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hari ini membuat keputusan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan.

Kenyataan Zahid kepada Malaysia Kini hari ini sekali gus mengekalkan pendirian parti itu yang menolak untuk bersama Bersatu dalam berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Suara Zahid sekarang ini adalah ‘suara UMNO’ kerana tidak ada siapa pun yang berani membantahnya, dan kenyataan beliau hari ini adalah kata putus parti itu.

Ketika menjawab soalan yang dikirim menerusi khidmat pesanan ringkas berkaitan kerjasama kedua-dua parti Melayu itu akan diteruskan, Zahid menjawab ringkas:

“Saya minta maaf … No way.”

Zahid juga dilaporkan memberitahu bahawa PRN Melaka adalah satu ujian bagi menunjukkan bahawa UMNO tidak memerlukan Bersatu untuk memenangi pilihan raya.

Beliau sebelum ini berkata Perhimpunan Agung UMNO 2020 telah membuat ketetapan tiada kerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

“UMNO kekal bertanding dibawah panji Barisan Nasional (BN) bersama parti komponen dan rakannya yang masih setia kepada perjuangan gabungan ini.

“Saya yakin BN akan meraih sokongan deras rakyat selepas apa yang rakyat alami, rasai dan saksikan selepas PRU-14 berakhir pada 9 Mei 2018,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan juga tidak menolak parti tersebut tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti lain untuk menghadapi PRN Melaka dan akan bertanding secara solo.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan juga berkata parti itu sudah kuat dan memiliki kelebihan yang jauh lebih ampuh untuk menewaskan musuh politik dalam PRN yang bakal diadakan kelak.

Kelmarin kerajaan Melaka pimpinan UMNO tumbang apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada UMNO, menarik sokongan terhadap pentadbiran Datuk Seri Sulaiman Md Ali

Mereka adalah ADUN UMNO Sungai Udang Datuk Seri Idris Haron; Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas); dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Susulan itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memaklumkan, pembubaran DUN Melaka, selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

Tiada ulasan: