HALAMAN SANTAI

Jumaat, 1 Oktober 2021

PN sepakat selesaikan pembahagian kerusi antara parti komponen

KUALA LUMPUR: Parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) mencapai kata sepakat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) untuk menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kata sepakat itu dicapai dalam Mesyuarat MT PN yang disertai oleh BERSATU, PAS,

Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan GERAKAN.

Katanya, pembahagian kerusi itu hanya membabitkan parti komponen dalam PN tanpa UMNO ataupun Barisan Nasional (BN) berikutan mereka belum memberikan kata putus mengenai hala tuju.

"Ini kerana, kita tidak dapat apa-apa lagi gambaran walaupun realitinya kita bersama dalam kerajaan.

"Bagi menunggu parti lain, ia akan mengganggu urusan kerana kita menjangkakan PRU-15 pada tahun depan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MT PN yang berlangsung di Ibu pejabat PN, di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, keputusan pembahagian kerusi antara parti komponen PN dilaksanakan berikutan PN tidak tahu hala tuju UMNO atau BN untuk PRU-15.

"Pembahagian kerusi Parlimen dan DUN di Semenanjung akan membabitkan antara BERSATU, PAS dan GERAKAN.

"Bagi Sabah pula, hanya pembahagian kerusi untuk Parlimen kerana kerusi DUN sudah selesai pada September tahun lalu," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, mesyuarat MT turut menetapkan majlis pelancaran rasmi parti PN peringkat kebangsaan akan diadakan pada November depan dengan PN Selangor akan menjadi tuan rumah.

Pada mesyuarat sama, Saiful Adli Mohd Arshad dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif parti PN berkuat kuasa esok.

Media sebelum ini melaporkan, UMNO enggan mengadakan sebarang perbincangan dengan BERSATU berhubung pembahagian kerusi menjelang PRU-15.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, dilaporkan berkata perkara itu jelas kerana UMNO sudah memutuskan lebih awal dan dipersetujui pada Perhimpunan Agung UMNO bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan BERSATU pada PRU-15 kali ini.

Tiada ulasan: