HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Oktober 2021

PRN Melaka: MIC tanding kerusi DUN Gadek

MGF22102021_PENAMAAN-CALON-MIC-7
Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Parti komponen Barisan Nasional (BN), MIC akan bertanding hanya satu kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi MIC Melaka, Datuk MS Mahadevan berkata, BN telah memberikan lampu hijau kepada parti itu untuk meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek.

“Memang satu kerusi telah dikhaskan kepada MIC untuk PRN Melaka dan kita akur dengan keputusan tersebut.

“Jadi, seboleh-bolehnya kita mahu kekalkan satu kerusi itu dan kita berharap rakyat di negeri ini tidak kiralah dari kaum Melayu, Cina atau India sekalipun supaya memberi sokongan kepada kita.

“Tanpa sokongan masyarakat berbilang kaum kita tidak mungkin akan mencapai kemenangan,” katanya memetik laporan Melaka Hari Ini.

Kerusi DUN Gadek pernah ditandingi MIC pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) pada 2018 namun calon parti itu gagal memenanginya.

Mengulas lanjut, Mahadevan menjelaskan, pihaknya telah mengemukakan tujuh nama untuk disenarai pendek bagi kerusi tersebut.

Justeru, tambah beliau, pihaknya menyerahkan kepada kepimpinan utama BN untuk meletakkan mana-mana calon yang difikirkan sesuai. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: