HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Oktober 2021

PRN Melaka: PAS mungkin tanding lima kerusi

HARAKAH DAILY
 

SHAH ALAM: PAS masih melakukan rundingan bersama Umno dan Bersatu dalam usaha mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rundingan tersebut amat penting bagi menyatukan kerusi-kerusi pengundi Melayu-Islam membabitkan kedua-dua parti itu dalam PRN berkenaan.

“Kita cuba elak tiga penjuru, rundingan sedang berjalan. Kita akan usahakan untuk meminimumkan pertembungan. Kalau mungkin satu dua kerusi itu tidak boleh elak, kita akan hadapi.

Advertisement

“Tetapi sekurang-kurangnya jangan terlampau banyak pertembungan tiga penjuru di antara PAS, Umno dan Bersatu kerana semua mengakui pertembungan akan merugikan. Insya-Allah kita akan teruskan rundingan muafakat, pasti ada jalannya.

“Saya lebih suka mengelak pertembungan sesama kita (PAS, Umno, Bersatu) tetapi kita tumpukan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) yang belum pernah dimenangi. Kena buat kerjalah…siapa dominan di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Bangunan PAS Selangor di Persiaran Akuatik di Seksyen 13, di sini, malam tadi. Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut memberi bayangan PAS mungkin bertanding lima kerusi pada PRN Melaka tetapi tidak mendedahkannya.

“PAS berhasrat untuk bertanding lima kerusi (PRN Melaka) tetapi dah sebut pada Timbalan Presiden Umno (Dato’ Seri Mohamad Hasan) PAS tidak akan ambil kerusi Umno.

“Kita ada dalam 28 kerusi di Melaka di mana Umno ada 13 atau 14 kerusi. Jadi, lebih kurang ada 14 lagi kerusi yang kita boleh duduk berbincang untuk kita elak bertembung,” katanya.

Sementara itu, menyentuh berkaitan ketetapan baharu yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung larangan penganjuran sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya berkuat kuasa 25 Oktober hingga 27 November ini, Tuan Ibrahim berkata, PAS akan menggunakan media sosial sebagai salah satu kaedah kempen.

“Kita menyambut baik keputusan KKM bagi mengelakkan penyebaran Covid-19. Kita tidak jangka pun akan ada PRN Melaka.

“Jadi kerana terpaksa buat pilihan raya, PAS hanya akan menggunakan pendekatan yang dibolehkan saja di mana penggunaan kali ini banyak kepada media sosial,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal 16 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: