HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 Oktober 2021

PRN Melaka: PN tanding semua kerusi, apa pendirian PAS, soal Puad

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi, berkata Bersatu 
kali ini sudah tentu banyak bergantung kepada jentera PAS yang lebih lama 
bertapak di Melaka. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno mempersoalkan pendirian PAS selepas Perikatan Nasional (PN) yang disertai parti Islam itu berhasrat bertanding di semua 28 kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Puad Zarkashi, membangkitkan perkara itu sambil menyifatkan PAS akan dituduh tidak mahu Umno kembali dominan jika bersetuju memilih untuk bersama Bersatu melalui PN dan menentang Barisan Nasional (BN).

“Persoalannya, apa pendirian PAS. Apakah PAS akan ikut telunjuk Bersatu? Kalau PAS memilih PN, itu bermakna PAS membiarkan dirinya dituduh parti yang tidak mahu Umno kembali dominan.

“Bersatu kali ini sudah tentu banyak bergantung kepada jentera PAS yang lebih lama bertapak di Melaka,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengumumkan gabungan disertai Bersatu, PAS, Gerakan, STAR dan SUPP dijangka bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Kenyataan Muhyiddin menyusuli kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan PN bagi menghadapi PRN Melaka.

Untuk rekod, PAS menyertai PN dan bersama Umno dalam Muafakat Nasional (MN).

Dalam perkembangan sama, Puad turut menyifatkan pengumuman Muhyiddin bahawa PN akan bertanding di semua 28 kerusi DUN Melaka bukti parti itu tamak dan mahu memecahkan undi.

“Ini kerana di PRU14, Bersatu hanya menang dua kerusi melalui sokongan PKR dan DAP. Manakala PAS gagal menang sebarang kerusi. Gerakan pula parti yang hampir luput.

“Kalau Gerakan bertanding di semua lapan kerusi DUN yang dimenangi DAP, itu akan menyebabkan PN adalah parti yang paling banyak hilang wang deposit di PRN Melaka.

“Sebab itu tidak ada yang mengejutkan dengan kenyataan Muhyiddin. Ia kenyataan yang tidak berpijak di bumi nyata. Kalau berani sila umum berapa jumlah ahli dan cawangan Bersatu di Melaka,” katanya memaklumkan Umno melalui mesyuarat MKT 28 Okt ini dijangka kekal dengan pendirian “No Bersatu”.

Tiada ulasan: