HALAMAN SANTAI

Jumaat, 17 Disember 2021

70 tahun mematangkan agenda politik PAS

 ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR

BUKAN senang bagi sesebuah parti politik untuk bertahan sekian lama di persada politik tanah air, tetapi hari ini PAS membuktikan ia mampu. Sudah 70 tahun usia PAS hari ini, ia bukan sahaja kekal bertahan tetapi lebih penting lagi PAS kekal relevan dan hari ini ia muncul sebagai sebuah parti arus perdana yang menjadi perhatian dan tumpuan ramai.

Banyak parti yang seangkatan dan malah yang lebih muda usianya dari PAS tidak mampu bertahan lama ada yang terus patah dan pupus terpadam rekodnya, namun PAS terus konsisten bergerak sehingga hari ini menyandang 3 jawatan Menteri Persekutuan, 3 Menteri Besar, 5 Timbalan Menteri, 18 Ahli Parlimen, 8 Senator dan 90 ADUN.

Dari sebuah parti yang kecil, ditubuhkan oleh para ulamak yang disangka tiada masa depan, PAS kini menjadi parti nasional dengan memiliki kawasan dan cawangan di seluruh negara termasuklah di Sabah dan Sarawak.

Sudah pastilah tidak sebagaimana parti-parti siasah yang lain, rahsia ketahanan PAS sehingga mampu bertahan hingga ke hari ini adalah lantaran teguhnya ia berpegang pada prinsip perjuangan iaitu menegak dan mendaulatkan Islam dengan meletakkan al-Quran dan as-Sunnah sebagai hukum serta rujukan tertingginya. 

Ikut sejarahnya PAS tidak pernah sesekali mengamalkan pendekatan matlamat menghalalkan cara dan ini diperakui oleh kawan dan lawan serta para pengkaji dan penganalisa politik.

Bukan senang isitqamah dengan pegangan seumpama ini tambahan dengan dugaan dan cabaran semasa yang beraneka jenis, tetapi terbukti PAS sejak dari awal penubuhannya sehinggalah ke hari ini, kekal atas landasannya walaupun kadangkala ia berhadapan dengan situasi terpaksa berhadapan dengan risiko kekalahan. Itulah kelebihan dan kelainan PAS.

Sebagai sebuah parti dakwah, PAS sepanjang 7 dekad usianya sentiasa terbuka kepada apa sahaja bentuk kerjasama dan pakatan politik selagi mana tidak menjejas atau menggadaikan prinsip dan dasar perjuangan yang dipegangnya. 

PAS sedar Malaysia yang masyarakatnya berbilang kaum dan agama ini tidak mungkin buat masa ini dikuasai bersendirian oleh PAS kecuali dengan menjalin persepakatan politik dengan mana-mana pihak yang bersedia bekerjasama dengan PAS.

Peluang bekerjasama ini akan PAS gunakan untuk memberikan kefahaman Islam kepada rakan-rakannya dengan harapan Islam tidak lagi dimusuhi tetapi dapat diterima sebagai sebuah cara hidup bermasyarakat dan bernegara, jika pun rakan politik tidak menerima Islam sekurang-kurangnya tidak memusuhinya. Kerana itu PAS pernah bekerjasama dengan DAP, sebuah parti yang kini menjadi musuhnya.

Semasa PAS menjalin hubungan dengan DAP di awalnya melalui Barisan Alternatif dan kemudiannya melalui Pakatan Rakyat, PAS menggunakan peluang untuk berdialog dan mendekati DAP bagi mendedahkan mereka kepada politik Islam. 

Walau DAP ternyata mahu memperalatkan PAS untuk menguasai pengaruh di kalangan masyarakat Melayu Islam, PAS berlapang dada kerana melihat hubungan ini jika diurus dengan baik dapat menguntungkan Islam.

Akan tetapi sebaik DAP mula mencabar dan mempertikai dasar dan prinsip perjuangan PAS, tatkala itu PAS bertegas memutuskan hubungan dengannya. DAP mula mencampuri urusan PAS dan menzahirkan dasar mereka yang ekstrem yang menolak matlamat Islam yang diperjuangkan PAS.

Pendekatan mempertahankan prinsip seumpama inilah yang menggusarkan musuh dan membangkitkan rasa hormat dan pengiktirafan dari rakyat jelata khususnya umat Islam terhadap PAS. Kerana itu PAS kekal gagah sehingga kini.

Kini landskap politik negara semakin rencam dan melalui banyak proses perubahan. PAS bukan lagi pemain politik yang kecil tetapi PAS hari ini sudah mampu berperanan mencorakkan landskap itu.

Justeru PAS perlu sentiasa ke hadapan dengan pelbagai penyelesaian Islam bagi meyakinkan rakyat dan negara bahawa Islamlah penyelesai kepada segala permasalahan ummah dan negara.

Hari ini rakyat sudah tidak lagi terpesona dengan budaya politik ekstrem, egois, retorik kosong dan janji-janji palsu. Kerana itu ‘Budaya Politik Matang dan Sejahtera’ atau BPMS yang digagaskan oleh PAS perlu menjadi budaya berpolitik PAS selain diterapkan sebagai satu norma baru di dalam masyarakat. 

Politik Islam cukup kaya dengan pelbagai pendekatan yang matang sebagaimana yang mampu ditegakkan oleh Rasulullah S.A.W dan para Sahabat. Jadikanlah ia sebagai pasport kita untuk meneroka jalan kesejahteraan buat semua.

Jajaran politik perpaduan ummah, yang menyatukan umat Melayu Islam demi memperkukuhkan kedudukan politik kita serta mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara perlu menjadi agenda utama PAS. 

Hari ini berikutan runtuhnya kerajaan 22 bulan PH, rakyat jelata khususnya umat Melayu Islam sudah dapat mendakap dan menerima jajaran politik ini kerana mereka sudah serik dan enggan memberi ruang bagi DAP dan konconya kembali berkuasa.

Mereka tidak mahu melihat ummah berpecah lagi sehingga memberi ruang kepada musuh-musuh Islam menguasai mereka. Pengalaman 22 bulan Kerajaan PH di bawah dominasi DAP sudah cukup menjadi sempadan.

Sesungguhnya PAS melalui Tuan Guru Presidenlah pasca PRU 2018 antara parti yang terawal menggerakkan jajaran politik ini, kerana melihat ancaman besar kepada umat Melayu Islam ketika itu. 

Inisiatif PAS ini mendapat sambutan ramai apabila Umno bersetuju bersama menubuhkan Muafakat Nasional. Dari situ jajaran ini terus dilihat umat Melayu Islam sebagai penyelamat kepada nasib dan masa depan mereka.

Menjalin dan membina jajaran ini bukan sesuatu yang mudah, namun pada PASlah sebagai sebuah gerakan Islam diletakkan harapan, PAS jangan sesekali mengecewakan ummah. PAS hari ini adalah pemimpin dan rujukan, kerana itu sentiasalah tabah dan bijaksana jangan mudah berputus-asa.

Punggahlah segala khazanah hukum dan ilmu Islam bersendikan realiti semasa untuk terbit dengan satu formula jajaran politik perpaduan ummah yang kelak akan menjadi contoh dan ikutan semua, diberkati dan dirahmati pula Allah S.W.T.

Kita yakin sejurus ummah bersatu-padu, tiada lagi bercerai-berai ketika itu seluruh rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama dapat hidup aman dan sejahtera bersama bernaungkan jajaran ini.

Yakinlah PAS kekal sehingga ke hari, meraikan ulangtahunnya yang ke-70 adalah lantaran pengorbanan dan doa, keringat dan air mata mereka yang terdahulu yang ikhlas berjuang kerana tahu bahawa Islam akhirnya akan berjaya jika tidak di waktu mereka tetapi di waktu anak cucu mereka nanti. Bersamalah kita pelihara anugerah Allah S.W.T ini.HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: