HARAKAH DAILY
Sebelumnya melakukan gimik membawa ayam segar ke Sidang Dewan
IPOH: ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai
Mahamad diarahkan Timbalan Speaker DUN Perak, Ustaz Khalil Yahya keluar
daripada Persidangan DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini
semalam.
Kekecohan bermula apabila Arafat tidak berpuas hati
dengan jawapan diberi Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Yunus Jamahri
mengenai isu kenaikan harga barang semasa sesi penggulungan.
Abdul Yunus sebelum itu telah memberi jaminan akan menjawab soalan dibangkitkan ADUN Hulu Kinta itu secara bertulis disebabkan tempoh penggulungan yang diberikan melebihi tempoh masa yang ditetapkan.
Ustaz Khalil yang mengendalikan persidangan ketika itu memberi kata dua sama ada Arafat mahu duduk atau keluar berehat sebentar di kantin.
“Saya arahkan Hulu Kinta duduk dan kita akan teruskan perbahasan yang disampaikan Tualang Sekah. Saya dah bagi ruang Exco menjawab. Bentara arahkan Hulu Kinta keluar,” tegasnya.
Sebelum itu, Arafat juga diberi pilihan sama ada untuk duduk di dalam dewan dan beri laluan kepada Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Dato’ Nolee Ashilin untuk membuat pergulungan atau keluar berehat di kantin.
Bagaimanapun, Yang Dipertua DUN Perak, Dato’ Mohamad Zahir Abdul Khalid yang masuk menggantikan Khalil mengendalikan persidangan tersebut terus membuat keputusan mengarahkan Arafat untuk keluar dewan.
Wakil rakyat dari PKR itu diarahkan keluar dewan setelah enggan duduk dan terus berucap walaupun telah diarahkan berhenti oleh Khalil sebelum itu.
“Mengikut Perintah Tetap 44(2), dimaklumkan sebelum saya masuk, Timbalan Speaker telah buat ketetapan minta Hulu Kinta keluar selepas kelakuan haru biru.
“Demi kemuliaan dewan, saya minta Hulu Kinta untuk keluar. Bentara tolong iring Hulu Kinta keluar,” tegasnya dan ADUN Hulu Kinta itu kemudiannya keluar dewan sambil diiringi oleh Bentara dewan.
Pada Selasa, Muhamad Arafat mencuri tumpuan apabila memegang seekor ayam segar ketika berbahas sebagai ‘gimik’ untuk mengulas isu harga barangan terutama ayam segar yang mengalami peningkatan sejak akhir-akhir ini.
Dia berkata, ayam itu sebagai ‘hadiah’ kepada Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria yang juga ADUN Semanggol. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan