Tindakan DAP dan Amanah yang menyerang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak wajar selepas kekalahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini dan sudah sampai masanya PKR meninggalkan kedua-dua parti itu.
Gesaan tersebut dibuat Ahli Parlimen (MP) PKR Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang menyifatkan Anwar menjadi mangsa apabila disuruh berundur dan membidas kedua-dua rakan parti dalam Pakatan Harapan (PH) itu sebagai sombong serta angkuh sehingga sanggup menghina Ketua Pembangkang tersebut.
“Apabila PH kalah di Melaka, Presiden kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi mangsa dikritik hebat pemimpin DAP, Parti Amanah serta anggota mereka. Disuruh berundur, kita dengar suara kurang sopan, angkuh dan sombong dihamburkan terhadap presiden kita.
“Mungkin DAP dan Amanah sudah terlalu kuat sekarang dan mereka tidak anggap PKR penting. Mungkin bagi anggapan mereka Anwar dan PKR sudah hilang daya tarikan dan sokongan rakyat,” katanya dipetik laporan media.
Bagaimanapun, Hassan berkata situasi tersebut menunjukkan PKR kini ibarat ‘habis madu sepah dibuang’ dan tidak perlu sentap atau marah dengan tindakan kedua-dua rakan parti komponen PH tersebut.
“Kita tidak boleh marah-marah pada mereka. Kita pun faham peribahasa Melayu, ‘habis madu sepah dibuang’. Begitulah nasib PKR dan presidennya,” katanya.
Menurut bekas Pengerusi PKR Johor itu lagi, cadangan dikeluarkan oleh pemimpin pemimpin Amanah dan DAP yang mahu bergabung dengan Parti Pejuang, Parti MUDA dan Parti Warisan juga menunjukkan PKR semakin tersisih.
“Kita dengar juga pemimpin muda Amanah yang hendak jemput Pejuang, Muda dan Warisan menyertai khemah PH. Mereka tidak yakin lagi pada kekuatan dan pemimpin PKR.
“Kita masih dengar lagi gagasan beberapa pemimpin PH dalam kalangan DAP dan Amanah masih mahu PH bergabung dengan (Tun) Dr. Mahathir Mohamad. Mereka sengaja hendak melemahkan PKR dan Anwar,” jelasnya.
Sehubungan itu, Hassan menasihati parti itu agar bertanding secara solo sekiranya perlu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
“Kepada anggota dan penyokong setia PKR, kita binalah kekuatan parti kita sendiri. Orang luar boleh desak Anwar letak jawatan sebagai Pengerusi PH atau Ketua Pembangkang.
“Kalau itu kehendak mereka, buanglah Anwar sebagai Pengerusi PH atau Ketua Pembangkang. Lepas itu buanglah PKR dari PH. Kita hendak tengok adakah mereka berani.
“Kalau mereka sudah tidak sudi menerima kita, apa yang kita boleh buat. Kita masuklah PRU-15 nanti secara ‘solo’. Kita gunakan logo parti kita sendiri. Kalau mereka hendak terajang PKR dari PH, terajanglah jika mereka sudah angkuh sangat. Bersedialah kemungkinan ini,” tegasnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan