HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 Disember 2021

Najib yang jatuhkan kerajaan, ingat semua perangai macam dia?


Datuk Seri Najib Razak bersama-sama rakan Ahli Parlimen (MP) diketuai Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang merancang menjatuhkan kerajaan sebelum ini tetapi kenapa sekarang menuduh Bersatu pula mahu menjatuhkan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata Najib tidak perlu menunding jari terhadap Bersatu dan membuat tuduhan tidak berasas kononnya mahu menjatuhkan Ismail Sabri walhal hakikatnya sebelum ini UMNO yang menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Najib kata Bersatu susun propaganda untuk jatuhkan PM. Saya nafikan. Ini fitnah.

“Tapi tidak pelik fitnah itu datang dari Najib. Itulah kata-kata orang berpengalaman bersama rakan-rakannya yang pernah jatuhkan Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Najib bersama Zahid dan beberapa MP UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan bersekongkol dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hasilnya, Muhyiddin meletak jawatan dan menamakan Ismail Sabri sebagai penggantinya, ia sekaligus menggagalkan rancangan mereka untuk mengangkat Anwar sebagai PM baharu.

Wan Saiful berkata tidak semua perangai sama seperti Najib dan yang suka menjatuhkan kerajaan apabila kehendak mereka tidak dituruti.

“Dia ingat semua orang perangai macam dia?” katanya lagi.

Najib semalam mendakwa Bersatu sedang menyusun propaganda untuk menumbangkan pentadbiran Ismail Sabri dengan menghangatkan isu kenaikan harga barangan asas.

Dalam pada itu, Wan Saiful juga mengungkit isu kenaikan harga barang semasa era kerajaan Najib dengan menyindir berhubung isu harga kangkung yang menjadi bahan kritikan terhadapnya.

“Cerita bab barang naik ni mesti rakyat teringat kisah Najib dan kangkung.

“Najib tak perlulah melatah menuding jari menyalahkan orang lain,” katanya lagi.

Wan Saiful juga mempersoalkan Najib yang seolah-olah mahu mengalih perhatian memandangkan keputusan rayuan kes mahkamahnya semakin hampir.

“Segerakanlah solusi, atau sebenarnya cuba alih perhatian sebab 8 Disember sudah dekat?” soalnya, merujuk kepada tarikh keputusan rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Tiada ulasan: