Walaupun dua kali tewas dengan memalukan dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Sarawak, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih cuba melobi rakan parti blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) supaya mencalonkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri (PM) gabungan itu.
Anwar masih cuba hidup dalam fantasi dengan berangan dirinya masih relevan untuk menjadi PM dan cuba membuktikan dirinya masih relevan bagi DAP serta Amanah mengekalkannya sebagai calon PM kepada PH.
Dua PRN sudah berlalu, parti PKR yang dipimpinnya gagal memenangi satu kerusi pun, bahkan rakan sekutunya juga tewas teruk apabila gagal mengekalkan kerusi yang ditandingi sebelum ini.
Bagaimanapun, Anwar masih berterusan cuba menyakinkan dirinya perlu dikekalkan sebagai Ketua Pembangkang dan satu-satunya calon PM bagi PH dan tidak boleh ada calon lain.
Namun, pengumuman Warisan untuk masuk dalam politik nasional dengan melebarkan sayapnya ke Semenanjung memberi tamparan dan cabaran terhadapnya.
Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal secara rasmi mengesahkan partinya yang diasaskan di Sabah akan menjadi sebuah parti nasional dan akan masuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) nanti.
Pengumuman Shafie itu secara tidak langsung memberi isyarat jelas Anwar akan dicabar sebagai calon PM, malah blok pembangkang kini mempunyai alternatif calon lain selain Presiden PKR itu.
Anwar sebelum ini selesa kerana tidak mempunyai pencabar dikalangan pemimpin blok pembangkang yang akan mencabarnya bagi jawatan nombor satu tersebut, namun beliau kini sudah ada pencabar terdekat iaitu Shafie.
Difahamkan Anwar mula kepanasan selepas pengumuman Shafie tersebut dan sedang berusaha untuk memujuk DAP serta Amanah agar mengekalkannya sebagai satu-satunya calon PM mereka.
Tetapi, sumber memberitahu DAP sudah dingin dengan Anwar dan mula tidak selesa dengan percaturan politik yang dilihat banyak merugikan mereka.
Spekulasi wujud gerakan dikalangan pemimpin DAP yang mahu menyingkirkan Anwar bukan lagi cerita dongeng tetapi ia sah wujud dan sedang dirancang dengan rapi.
Bagaimanapun Anwar dapat menghidu gerakan tersebut selepas menerima maklumat dalaman beberapa wakil DAP dalam parti yang setia kepadanya.
Individu pertama yang mengesahkan wujud gerakan untuk menurunkan Anwar daripada mengetuai PH adalah bekas pemimpin DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau.
Cheng Hau mendakwa terdapat beberapa mesyuarat dalam talian, Zoom diadakan dalam kalangan MP, bekas menteri dan akar umbi DAP sebenarnya cuba memujuk supaya tidak menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri (PM) bagi PH, sebaliknya memilih Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pendedahan itu juga disahkan kemudiaannya Setiausaha Pemuda PKR, Ahmad Syukri Ab Razak yang mengakui terdapat beberapa pemimpin DAP yang cenderung menyokong Dr Mahathir sebagai calon PM dan membuat kritikan terbuka kepada Presiden PKR itu.
“Kita tak terkejut dengan pendedahan ini sebab bagi kita sikap beberapa kepimpinan DAP terhadap Dr Mahathir dan kecenderungan mereka menyokong bukan lagi perkara yang tersembunyi, ia dapat dilihat dengan jelas.
“Beberapa pemimpin DAP cenderung memihak dan lebih bersimpati kepada Dr Mahathir dan sikap kritikal beberapa pemimpin DAP terhadap Anwar juga bukan perkara yang boleh disorok lagi, ia memang berlaku,” katanya dipetik dalam satu laporan media sebuah portal.
Keputusan yang memalukan dalam PRN Sarawak juga semakin meresahkan DAP, difahamkan pemimpin atasan sedang mencari jalan untuk memberitahu Anwar supaya berundur secara terhormat atau ditendang keluar.
“Kekalahan PRN Sarawak selepas kekalahan memalukan di Melaka sangat membimbangkan… Gambaran semakin jelas apa yang akan berlaku selepas ini sekiranya Anwar kekal mengetuai PH.
“DAP sudah tidak boleh tahan dengan Anwar yang disifatkan sebagai liabiliti dan sedang mencari jalan segera untuk membuang Anwar,” kata sumber parti.
Menyedari perkara tersebut, Anwar kini cuba mencari jalan dengan menggunakan pemimpin atasan DAP yang setia kepadanya dengan memujuk mereka supaya mengekalkannya sebagai calon PM bagi PH.
Namun, beliau perlu memberikan alasan dan hujah yang munasabah untuk menunjukkan dirinya masih relevan kepada gabungan itu kerana sudah jelas rakyat kini tidak lagi menyokongnya.
“Anwar sudah tidak lagi popular dan rakyat sudah tidak mempercayainya lagi… Sokongan dan pengaruhnya sudah terhakis, rakyat tidak melihatnya sebagai ikon kepada perjuangan untuk membela nasib rakyat,” kata sumber lagi.
Namun, DAP boleh memilih untuk kekal bersama dengan Anwar dan berdepan risiko bakal kehilangan lebih banyak kerusi dalam PRU-15 nanti kerana sanggup melayani strategi bodoh Anwar yang berterusan dan tidak serik berunding dengan Presiden UMNO Datuk Seri AHmad Zahid Hamidi.
Paling tidak boleh dilupakan orang ramai adalah bagaimana Anwar boleh mengeluarkan kenyataan mempertahankan pemimpin UMNO yang lompat parti dengan memberi label ‘katak berprinsip’ sehingga mengakibatkan rakyat hilang kepercayaan kepada blok pembangkang, PH.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan