HALAMAN SANTAI

Selasa, 21 Disember 2021

Shahrir soal mengapa perlu persetujuan Muhyiddin bagi adakan PRU-15

MALAYSIA POST

Shahrir soal mengapa perlu persetujuan Muhyiddin bagi adakan PRU-15

VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mempersoalkan kenyataan Presiden Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan keputusan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bukan hanya ditentukan oleh Umno.

Beliau berkata, kenyataan itu berbeza dengan syarat untuk diadakan PRU adalah bergantung kepada keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menasihatkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membubarkan Parlimen.

“Rupanya bukanlah kuasa mutlak DS (Datuk Seri) Ismail Sabri sebagai PM (Perdana Menteri) untuk nasihat YDPA bubarkan Dewan Rakyat!

“Kena dapat persetujuan Presiden PN dulu melalui konsensus Jemaah Menteri yang melibatkan wakil-wakil dari PN dan GPS (Gabungan Parti Sarawak),” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Shahrir berkata, kenyataan Muhyiddin itu seperti menggambarkan kuasa Perdana Menteri di bawah Perlembagaan Malaysia tertakluk kepada persetujuan Presiden Bersatu tersebut.

“TSMY (Muhyiddin) lagi berkuasa dari Perlembagaan terhadap PM. Satu lagi ‘butang’ dibawah kuasa TS Mahiadin,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin dilaporkan berkata bukan Umno sahaja yang akan memutuskan bila PRU-15 akan diadakan.

Kenyataan beliau itu selepas Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, semalam berkata kepimpinan parti itu akan menimbang usul yang dibuat di peringkat bahagian agar PRU diadakan lebih awal.

Namun, Muhyiddin membangkitkan antara terma persetujuan antara Perdana Menteri dan PN adalah gabungan itu perlu dilibatkan dalam perbincangan berkenaan waktu untuk PRU diadakan. – Malaysiapost

Tiada ulasan: