HALAMAN SANTAI

Jumaat, 3 Disember 2021

Guan Eng cadang ‘cukai dosa’ diasingkan untuk bukan Islam sahaja

MALAYSIA POST

Guan Eng cadang ‘cukai dosa’ diasingkan untuk bukan Islam sahaja

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng menyeru kerajaan persekutuan mempertimbangkan untuk mengasingkan hasil ‘cukai dosa’ atau cukai perjudian dan arak dalam kumpulan wang khas hanya untuk orang bukan Islam.

Setiausaha Agung DAP yang juga Ahli Parlimen Bagan itu, berkata kumpulan wang khas itu boleh dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

“Cadangan ini dapat mengelakkan permainan sentimen puak ekstremis yang menggunakan isu ini bahawa duit dosa digunakan untuk orang Islam bagi memecahbelahkan hubungan harmoni di kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam intipati perbahasannya mengenai Belanjawan Negeri Pulau Pinang 2022, yang dikongsikan di laman Facebooknya, hari ini.

Guan Eng turut menyeru semua ADUN Pulau Pinang berganding bahu menyahut cabaran menentang ‘BN’ iaitu Barang Naik.

“Kerajaan Persekutuan boleh mewujudkan satu Dana Penstabilan Harga Barang Nasional sebanyak RM3 bilion daripada hasil Cukai Makmur (windfall tax).

“Ia demi membantu peniaga, mengurangkan kos logistik, dan memperluaskan bekalan menerusi pemberian subsidi baja dan racun serangga perosak untuk menstabilkan harga barang.

“Saya mencadangkan Kerajaan Negeri memberikan diskaun 30 peratus bagi lesen perniagaan kepada penjaja dan pedagang kecil untuk menunjukkan kita bersama mereka menghadapi kenaikan harga barang yang melambung tinggi,” katanya.

Beliau juga belanjawan defisit bagi Pulau Pinang kerana ia perlu untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan pasca Covid-19 dan rakyat memang faham perbelanjaan itu diperlukan untuk menampung keperluan negeri dan rakyat.

“Kerajaan negeri juga perlu ada cara penjimatan, cara untuk menjana lebih pendapatan, mengawal perbelanjaan dan memaksimumkan pulangan,” katanya.

Guan Eng turut mempertikaikan peruntukan diberikan kerajaan persekutuan kepada Pulau Pinang dalam Bajet 2022.

“Bajet 2022 Kerajaan Persekutuan berjumlah RM332.1 bilion merupakan peruntukan tertinggi dalam sejarah belanjawan negara.

“Tetapi anggaran peruntukan yang diluluskan untuk Pulau Pinang hanya berjumlah RM996 juta, lebih kurang daripada RM998 juta di dalam Belanjawan 2021 sungguhpun belanjawan Persekutuan ditambah besar lagi.

“Apabila Pulau Pinang dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan, mana ada lagi konsep Keluarga Malaysia,” katanya.-Malaysiapost

Tiada ulasan: