MALAYSIA POST
SEJARAH membuktikan DAP tepat dan sebaliknya pemimpin kerajaan Sarawak yang diwakili GPS salah, kata Veteran DAP Lim Kit Siang.
Beliau berkata demikian susulan Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan 2021 yang diluluskan Dewan Rakyat, untuk memperbaiki ketidakadilan selama 45 tahun terhadap Sarawak disebabkan Pindaan Perlembagaan 1976.
Kit Siang berkata, pemimpin GPS tidak boleh semata-mata hanya menyalahkan Kerajaan Persekutuan untuk Pindaan Perlembagaan 1976 yang telah meletakkan Sarawak di kedudukan yang merugikan untuk setengah abad ini.
“Ini kerana pemimpin Barisan Nasional Sarawak juga telah sebulat suara bersetuju dengan Pindaan 1976 ini dan perlu menanggung setengah tanggungjawab apabila Sarawak dilayan seperti ‘anak tiri’ dalam setengah abad yang lepas.
“Satu-satunya parti politik yang menentang Pindaan 1976 ini adalah DAP, dan DAP menentang pindaan ini sebelum DAP mula membuka cawangan di Sarikei, Sibu, dan Kuching pada tahun 1978,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, perkara itu menunjukkan bahawa DAP sentiasa meletakkan hak dan kepentingan orang Sarawak sebagai perkara yang utama.
Katanya, perkara pertama yang perlu dibuat DUN Sarawak yang mengundi esok adalah untuk menubuhkan Jawatankuasa Semua Parti untuk menuntut pampasan yang adil daripada Kerajaan Persekutuan kerana gagal untuk mematuhi komitmennya terhadap Sarawak seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“(Selain) menuntut pampasan dari Kerajaan Persekutuan kerana tidak mematuhi MA63 dengan memastikan ada peruntukan kewangan yang berpatutan dan adil, autonomi dalam bidang pendidikan dan kesihatan, hak cari gali minyak dan sumber pembangunan yang adil untuk setengah abad (ini),” katanya.
Justeru, Kit Siang mengesyorkan adalah penting untuk wakil DAP dilantik ke dalam Jawatankuasa Semua Parti untuk pampasan adil dari Kerajaan Persekutuan kepada Sarawak atas kegagalan komited kepada MA63.
“Ini kerana sembilan undi dari DAP di Parlimen melawan Pindaan Perlembagaan 1976 pada 13 Julai 1976 telah terbukti tepat dalam sejarah.
“Malah, DUN Sarawak yang baharu ini perlu bersidang dalam tahun ini juga untuk menunjukkan keseriusan dalam menuntut pampasan yang adil dari Kerajaan Persekutuan.
“… dan merangka rang undang-undang pampasan yang patut dibentangkan dalam persidangan Parlimen pada bulan Februari akan datang,” katanya.
Baru-baru ini, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bertujuan mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia diluluskan Dewan Rakyat.
Perkara itu dimaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun selepas memperoleh sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.
Sebanyak 199 ahli Parlimen bersetuju selepas bacaan kali ketiga sekali gus menerima majoriti lebih dua pertiga. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan