HALAMAN SANTAI

Jumaat, 17 Disember 2021

PRN Sarawak: Ada pusat pengundi tutup awal jam 2 petang

MALAYSIA POST

PRN Sarawak: Ada pusat pengundi tutup awal jam 2 petang

BEBERAPA pusat pengundian pada hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak esok, ditutup seawal jam 2 petang.

Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Nor Nekman Jaimon berkata proses mengundi di pusat pengundi yang terletak di kawasan pedalaman dan bilangan pengundi kurang daripada 250 akan berakhir awal.

“Ada beberapa pusat pengundian yang akan ditutup awal pada jam 2 petang esok terutama di kawasan pedalaman dengan bilangan pengundi kurang daripada 250 orang.

“Jadi dengan penutupan awal, kita harap proses pengiraan undi dapat dibuat sebelum jam 8 malam,” katanya dipetik Utusan Borneo, hari ini.

Pada masa sama Nor Nekman mengingatkan, PRN Sarawak kali ini ada tambahan satu prosedur operasi standard (SOP) berkaitan keselamatan dan kesihatan.

Sementara itu, persediaan terakhir bagi proses pengundian PRN Sarawak esok dilaporkan berjalan dengan lancar.

Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Amir Omar berkata setakat pagi tadi hampir 80 peratus persiapan sudah dibuat dengan pihak petugas sedang memperkemaskan lagi prosedur.

“Terima kasih kepada polis dan pegawai petugas pilihan raya yang memastikan proses PRN kali ini berjalan lancar. Dari segi persiapan logistik di pusat pengundian pedalaman, semua sudah digerakkan,” katanya.

Amir turut meminta pengundi untuk keluar awal mengundi esok di mana pusat pengundian akan dibuka awal pada jam 7.30 pagi.

PRN Sarawak kali ke-12 ini menyaksikan 1,213,769 pengundi biasa daripada 1,252,014 pengundi berdaftar di Sarawak akan mengundi esok melibatkan 1,866 pusat mengundi dengan 3,555 tempat mengundi/saluran dibuka. – Malaysiapost

Tiada ulasan: