Hasimi Muhamad
Datuk
Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yakin semua muka baharu yang ditampilkan
oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) mampu memenangi kerusi yang diwakili
mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak.
- Gambar Astro AWANIKUCHING:
Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yakin semua muka baharu yang
ditampilkan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) mampu memenangi kerusi
yang diwakili mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak.
Naib
Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata, keyakinan
itu bersandarkan kepada kriteria dan pengalaman yang dimiliki
calon-calon berkenaan selepas melalui penilaian daripada setiap parti
komponen GPS.
"Mereka
ini buah-buah pilih... kita sudah buat (penilaian) penglibatan mereka
dalam NGO (badan bukan kerajaan), pertubuhan-pertubuhan belia dan
kemasyarakatan.
"Mereka
ini pemimpin-pemimpin yang kita angkat untuk menjadi pewaris pada masa
akan datang. Saya percaya mereka akan dapat membawa atau memenangi
kerusi-kerusi di mana mereka diletakkan," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Ahad.
Mengulas
lanjut, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya itu
menambah, sifat paling penting yang dimiliki oleh calon-calon yang
dikemukakan oleh GPS adalah berjiwa rakyat.
Selain itu, Menteri Belia dan Sukan Sarawak itu berkata, 25 muka baharu itu juga telah memiliki kehidupan yang hampir stabil.
"Tidak
guna kita letakkan seseorang calon itu, tetapi mereka tidak mempunyai
jiwa untuk membantu rakyat, dan di sini lah calon-calon yang kita pilih
itu adalah calon-calon yang profesional, mempunyai jiwa untuk rakyat.
"Selain daripada itu, kehidupan mereka juga lebih kurang stabil (dari segi) kerjaya dan keluarga mereka.
"Kita
tidak mahu seseorang itu terlalu muda... mereka belum berkahwin, selain
daripada masih lagi bergelut untuk mengaturkan kehidupan mereka sendiri
dan keluarga.
"Jadi, apabila mereka
sudah stabil sedikit, berkahwin, serta mempunyai kerjaya yang teratur,
boleh kita angkat (sebagai calon)," ujar beliau.
Dalam perkembangan sama, Abdul Karim berkata, GPS mampu menang besar pada PRN12 termasuk di kawasan luar bandar.
"Kekuatan
kita memang nampak sangat di dalam kawasan luar bandar, dan dalam
kawasan bandar pun kecuali di kawasan-kawasan yang majoritinya
masyarakat Cina.
"Kita akan ada lawan
sedikit daripada parti DAP, tetapi untuk kawasan-kawasan lain,
Insya-Allah kita akan dapat menang besar," ujarnya.
Selain
itu, Abdul Karim turut menitipkan nasihat agar para pengundi turun
menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN12 yang ditetapkan pada 18
Disember ini.
Tegasnya, rakyat Sarawak
perlu membuat keputusan berhemah dengan memilih wakil rakyat yang
benar-benar boleh membawa kebaikan dan pembangunan kepada negeri ini.
"Sebeum
kita memangkah sama ada calon atau parti yang kita pilih itu, (pastikan
mereka) boleh membawa kebaikan dan pembangunan kepada kita serta
menyatupadukan rakyat dengan lebih erat.
"Ini kerana kita tahu di Sarawak, kita mempunyai pelbagai suku kaum dan agama.
"Jadi,
kita perlu jaga keharmonian yang sedia ada... pilihlah parti dan
pemimpin yang boleh membawa penyatuan dan keharmonian serta pembangunan
kepada negeri Sarawak," katanya lagi.
GPS menampilkan sekurang-kurangnya 25 muka baharu pada PRN12 termasuk di DUN Tanjong Datu, Lingga, serta Tellian.
Abdul Karim telah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya untuk empat penggal sejak 2001.
Dalam PRN11 pada 2016, beliau mengalahkan calon PKR, Abang Junaidi Abang Gom dengan majoriti 4,078 undi.
Abdul Karim mendapat 6,163 undi manakala lawannya meraih 2,085 undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan