HALAMAN SANTAI

Ahad, 5 Disember 2021

‘Sejak tak jadi PM, Muhyiddin makin keliru’ – Khaled Nordin

MALAYSIA POST

‘Sejak tak jadi PM, Muhyiddin makin keliru’ – Khaled Nordin

TAN Sri Muhyiddin Yassin didakwa semakin ‘keliru’ semenjak tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan selepas Perikatan Nasional (PN) tewas di Melaka.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kenyataan Muhyiddin mendakwa sistem parti politik dominan tidak lagi sesuai dan merbahaya, sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Agaknya beliau lupa bahawa beliau tersingkir dari jawatan Perdana Menteri kerana PPBM (Bersatu) itu tidak dominan dalam Kerajaan PN. Kerana parti beliau PPBM itu kecil lah maka kerajaan pimpinan beliau begitu mudah sekali tersungkur.

“Atau mungkin beliau tidak ingat bahawa ketidakstabilan politik yang Malaysia alami selama 42 bulan lepas ialah kerana tiadanya parti terbesar dan dominan dalam membentuk Kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, ketidakstabilan politik juga menyaksikan tragedi puluhan Ahli Parlimen lompat parti demi memperdagangkan kedudukan mereka untuk membentuk Kerajaan.

“Malaysia tidak pernah menyaksikan episod khianat mandat rakyat dalam magnitud sedemikian. Hanya semenjak PPBM (Bersatu) menjadi kerajaan dalam PH dan PN, budaya politik curang itu menjadi kelaziman,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, Muhyiddin mungkin tidak lagi boleh membezakan bahawa Malaysia adalah sebuah demokrasi ala ‘Westminster’ iaitu hanya parti terbesar dan terkuat di jemput untuk membentuk kerajaan.

“Di seluruh dunia, pergerakan politik kepartian bertungkus lumus untuk memenangi pilihanraya dengan kerusi terbanyak.

“Hanya dengan kerusi terbanyak, Kerajaan majoriti dapat dibentuk. Dengan majoriti yang selesa, kerajaan boleh fokus dengan membangun negara dan bukannya menyelamatkan kuasa,” katanya.

Justeru, katanya, beliau ingin melihat jumlah kerusi yang akan ditandingi Bersatu dalam Pilihan Raya Umum akan datang

“Dalam PRU ke 13, mereka menang hanya 13 kerusi sahaja tetapi pemimpin mereka menjadi Perdana Menteri. Mungkin kerana itu, PPBM (Bersatu) selesa menjadi parti kecil tetapi memerlukan nyawa dari Umno.

“Insyallah dalam PRU akan datang, Umno akan menjadi parti dominan dan mengembalikan demokrasi ala Westminster yang sebenarnya kepada Malaysia,” katanya.

Semalam, media melaporkan, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN, memberi amaran mengenai kesan buruk akibat sistem parti politik dominan seperti yang berlaku pada era pentadbiran BN sebelum gabungan itu tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). – Malaysiapost

Tiada ulasan: