HALAMAN SANTAI

Jumaat, 17 Disember 2021

PRU awal mahu, pemilihan awal UMNO tidak mahu dan yang jadi mangsa adalah rakyat


Selepas dua Pilihan Raya Negeri (PRN) berjaya dijalankan, timbul spekulasi adakah selepas ini akan berlakunya satu lagi pilihan raya yang lebih besar di seluruh negara.

Untuk rekod, penggal pilihan raya umum (PRU) sepatutnya dilaksanakan mengikut landas Perlembagaan negara adalah pada 2023 dimana sudah termaktub secara jelas proses demokrasi itu perlu dijalankan lima tahun sekali.

Bagaimanapun, penggal kali ini selepas berakhir PRU-14 menyaksikan negara sudah memiliki tiga orang Perdana Menteri (PM) daripada parti yang berbeza, ia sedikit melegakan apabila tidak ada berlaku sebarang pertumpahan darah ataupun kekecohan semasa transisi pertukaran tersebut.

Paling melegakan rakyat adalah apabila tidak ada PRU berlangsung kerana ia pastinya menyusahkan mereka, ditambah pula negara baharu sahaja dilanda gelombang penularan Covid-19 yang sudah mengorbankan banyak nyawa dan banyak orang yang kehilangan punca pendapatan juga.

Sudah dua tahun rakyat terpaksa bergelumang dengan pandemik Covid-19, keperitan kehidupan dan ada yang kehilangan orang tersayang masih tidak dapat melupakan betapa susahnya ketika itu.

Namun, mujur ada juga bantuan daripada kerajaan yang banyak membantu rakyat yang hidup kesusahan, sama ada bantuan tunai dalam bentuk keperluan harian semua rakyat tidak terlepas daripada menerima bantuan.

Kini, kes harian mungkin tidak setinggi sebelum ini yang mencecah puluhan ribu, namun ia tidak sepatutnya dijadikan alasan oleh ahli politik yang kemaruk dengan kuasa mahu menyusahkan rakyat dengan meneruskan usaha untuk mengadakan satu lagi pilihan raya.

Tidak pasti untuk apa satu lagi pilihan raya mahu diadakan walaupun tidak ada syarat wajib atau keperluan untuk meneruskannya, tetapi bagi segelintir ahli politik yang sudah tersepit dan terdesak dibebani dengan kes mahkamah ia dianggap mereka sebagai satu kemestian pula.

Seperti biasa, alasan-alasan yang diberikan adalah seperti mahu memberi mandat kepada rakyat, kerajaan sedia ada tidak stabil, kerajaan tidak pandai menguruskan negara dan pelbagai macam lagi alasan diberikan.

Antara individu yang paling kuat berhujah sedemikian adalah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, diketahui umum cita-citanya yang gila-gila mahu menjadi PM walau dengan apa cara sekalipun.

Tetapi beliau terlupa, jika tidak diizinkan dengan kehendak Allah, hasrat dan cita-citanya tidak akan jua kesampaian kerana untuk menjadi seorang ketua negara memerlukan keikhlasan bukannya semata-mata melahap kepada kuasa.

Tetapi, apakan daya sudah terbukti Anwar sebenarnya lahap dengan kuasa dan suka berangan-angan jauh ke bulan. Tidak apalah, semua orang ada cita-cita sendiri.

Berbalik kepada isu pokok, hujah untuk mengadakan PRU awal sebenarnya sudah tidak lagi relevan apabila UMNO sendiri pun sanggup menangguhkan pemilihan parti mereka atas alasan Covid-19.

Sekiranya Zahid dan UMNO mahu PRU diawalkan, lebih elok juga pemilihan parti yang ditangguhkan sebelum ini atas alasan Covid-19 juga dibatalkan dan dengan segera mengadakan pemilihan parti mereka.

Dalam senario semasa ini, UMNO juga perlu berlaku adil kepada rakyat dan tidaklah tergesa-gesan mahu mengadakan PRU tetapi mereka pula boleh menangguhkan pemilihan parti.

Atau adakah nyawa rakyat biasa tidak penting bagi UMNO dan nyawa ahli UMNO lebih penting daripada rakyat biasa?

Jika mahu PRU awal diadakan, UMNO perlu menunjukkan tauladan dan contoh terlebih dahulu kepada rakyat dengan mengadakan pemilihan parti. Baharulah ia adil kepada rakyat, janganlah anggap rakyat biasa ini tidak setaraf dengan ahli UMNO.

Rakyat biasa bukan seperti ahli-ahli UMNO yang gila-gilakan kuasa dan mengejar kekayaan dunia semata-mata, rakyat hanya berharap sekurang-kurangnya setiap hari adalah nasi dan sedikit lauk atas meja untuk diberikan kepada keluarga mereka.

Negara baharu sahaja berdepan satu cabaran paling besar dalam sejarah yang tidak pernah berlaku sebelum ini, sekurang-kurangnya adalah sedikit rasa insaf dan tawaduk kepada yang maha kuasa, cukup-cukuplah menggunakan alasan demi rakyat tetapi sebenarnya ia adalah demi tembolok pemimpin UMNO sendiri.

Takkanlah peristiwa kejatuhan kerajaan semasa PRU-14 dahulu masih tidak cukup menginsafkan sehingga rakyat terpaksa menunjukkan jalan keluar buat kali kedua.

Jika semasa persekolahan, para guru agama sentiasa berpesan agar sentiasa bersyukur dengan pemberian Allah, jadi adalah lebih baik juga UMNO belajar bersyukur dapat menjadi dominan sebagai kerajaan pusat atas ihsan dan budi bicara parti politik yang lain.

Tidak salah belajar bersyukur supaya kisah anjing dengan bayang-bayangnya tidak berulang berlaku kepada UMNO.

Tiada ulasan: