Apabila Kelab Penyokong Kerajaan atau BBC mengadakan sidang media menyatakan sokongan terbuka agar Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob diberi tempoh berkuasa menerajui negara sehingga tahun 2023, tujuan paling mudah difahami di sebaliknya ialah agar beliau menjadi Presiden UMNO terlebih dahulu sebelum PRU-15 hendak diadakan.
Ini berikutan tempoh akhir UMNO mesti mengadakan pemilihan ialah pada Disember 2022, sementara tempoh penggal Parlimen berakhir Mei 2023.
Dengan jika Ismail Sabri berjaya menjadi Presiden UMNO sebelum PRU-15 diadakan, ia bukan saja dipercayai membolehkan beliau menyusun dan membentuk pasukannya dalam pilihanraya tersebut, bahkan lebih penting daripada itu ialah dapat menyelamatkan nyawa politik golongan kluster kabinet yang sebahagian besarnya tiada jawatan dalam hierarki kepimpinan UMNO.
Besar kebarangkalian, kalau pun tidak semua, beberapa orang daripadanya mungkin tidak akan dicalonkan lagi untuk bertanding dalam PRU-15 jika ia dilangsungkan sebelum pemilihan UMNO berikutan pendirian mereka menentang kepimpinan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dalam beberapa isu, terutama soal bekerjasama dengan Bersatu.
Antara pemimpin berjawatan menteri yang tiada kedudukan dalam hireaki kepimpinan MT UMNO ialah Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin, Annuar Musa, Shahidan Kassim, Dr Adham Baba dan Halimah Saddique.
Tetapi jika PRU-15 dapat dilewatkan sehingga 2023 dan pemilihan UMNO diadakan sebelum itu, maka bukan saja Ismail Sabri dipercayai mudah menewaskan Zahid Hamidi, malah pemimpin-pemimpin yang berjawatan menteri juga dirasakan tiada masalah memenangi sekurang-kurangnya sebagai ahli MT.
Namun, apakah benar dengan jawatan Perdana Menteri dan menteri, seseorang itu mudah menang jawatan Presiden UMNO dan ahli MT?
Selain sejarah UMNO telah beberapa kali memperlihatkan sudah ramai menteri yang kalah bertanding sebagai ahli MT, lebih daripada itu, kedudukan sebagai Perdana Menteri juga bukanlah tangkal azimat untuk membolehkan menang mudah jawatan Presiden UMNO.
Meskipun di era BN, semua Perdana Menteri adalah Presiden UMNO, realitinya jawatan tertinggi dalam kerajaan itu bukanlah jaminan mutlak untuk laluan mudah menguasai parti.
Contoh paling klasik dalam hal ini ialah Tun Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun di era BN iaitu antara 1981 hingga 2003.
Tun Mahathir pernah ditentang oleh Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan Presiden UMNO pada 1987 dan berjaya memenanginya dengan kelebihan 43 undi.
Meskipun Tun Mahathir menang dalam pertandingan itu, tetapi banyak misteri timbul berkaitan pemilihan tersebut, antaranya dakwaan lampu terpadam ketika proses pengiraan undi dan kewujudan 30 cawangan tidak sah daripada empat bahagian yang menyebabkan isu itu dibawa ke mahkamah oleh Kumpulan 11.
Kes itu dibawa di mahkamah dengan tujuan supaya pengiraan atau pengundian semula dapat diadakan bagi memastikan siapa pemenang sebenar sebagai Presiden UMNO.
Proses mahkamah itu juga diambil kerana duluan keputusan mahkamah terhadap pemilihan MCA yang turut dibelenggu kewujudan cawangan-cawangan tidak sah sebelum itu yang memutuskan pemilihan semula hendaklah diadakan.
Malangnya, dalam kes UMNO, keputusan hakim ketika itu tidak mencadangkan pemilihan semula, sebaliknya mengisytiharkan UMNO sebagai pertubuhan yang tidak sah atau haram, lalu Tun Mahathir kemudian menubuhkan UMNO Baru yang menghalang sama sekali Tengku Razaleigh dan pengikutnya daripada menjadi ahli parti baru itu.
Cuba kita bayangkan apakah nasib Tun Mahathir ketika itu jika pemilihan UMNO diadakan semula atau kalau pun UMNO Baru hendak ditubuhkan, tetapi semua bekas ahlinya diterima semula tanpa syarat sebagai ahli?
Kemudian pada pada 1998, Anwar Ibrahim yang ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah dipecat oleh Tun Mahathir atas pelbagai pertuduhan jenayah, di samping dalam waktu yang sama beliau dipukul hampir setengah mati dengan tangan terikat serta mata tertutup ketika dalam tahanan polis.
Lima tahun sebelum dipecat iaitu pada pada 1993, Anwar telah berjaya menyingkirkan Tun Ghafar Baba sebagai Timbalan Presiden UMNO dengan kemenangan hampir mutlak dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Sejak Anwar memegang jawatan nombor dua dalam kerajaan, namanya sering disebut-sebut sebagai bakal peneraju masa depan negara dan dalam keadaan yang sama, kehadirannya dilihat sebagai ancaman kepada Tun Mahathir.
Sementara pertuduhan dan cara Anwar dilayan ketika itu banyak yang boleh dipersoalkan, namun rata-rata mereka yang arif dalam politik mengakui bahawa soal politik adalah sebab utama pemecatan itu dilakukan.
Sekali lagi, cuba kita bayangkan apakah nasib Tun Mahathir dalam pemilihan UMNO seterusnya jika beliau tidak memecat Anwar daripada jawatan dalam kerajaan dan sebagai ahli UMNO pada tahun 1998 itu?
Pendek cerita, baik Ismail Sabri atau BBC, renungkan kembali dua episod sejarah itu jika masih berfikir jawatan Presiden UMNO boleh senang-senang untuk direbut hanya dengan bersandarkan jawatan Perdana Menteri.
Kalau Tun Mahathir pun tidak begitu kebal untuk menang sebagai Presiden UMNO bersama jawatan Perdana Menteri yang dipegangnya, berapa peratus kehebatan Ismail Sabri kalau hendak dibandingkan dengan bekas Perdana Menteri itu?
(*) Shahbudin Husin -Pemerhati dan penganalisis politik
Tiada ulasan:
Catat Ulasan