MALAYSIA POST
PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan beliau pernah diugut dan digertak pihak tertentu untuk membubarkan Umno atau menerima akibat selepas parti itu tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Ahmad Zahid berkata, beliau juga dihina dan diejek oleh ‘si pembelot’ yang berkiblatkan jawatan serta kedudukan dan ditekan oleh mereka yang curang supaya menggadaikan parti itu.
“Sesungguhnya bukan tugas mudah untuk menyelamatkan perjuangan murni ini daripada komplot kemusnahan yang dirancang seusai detik hitam 9 Mei 2018.
“Engkau (Allah SWT) jua memafhumi apa yang terpaksa diri ini harungi sejak lebih tiga tahun lalu demi memastikan Umno dan perjuangannya tidak hancur dimamah kezaliman.
“Masih jelas dalam ingatan diri diugut dan digertak sang penguasa supaya membubarkan Umno atau menerima akibat sejurus Umno tewas PRU-14 angkara fitnah dan tipu daya,” tulisnya menerusi Facebook.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, beliau bersyukur kerana tidak pernah sesekali mengizinkan Umno layu dan kaku apabila berdepan penganiayaan dan kedurjanaan berkenaan.
“Genggam bara api biar sampai jadi arang, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, patah sayap bertongkat paruh.
“Namun gunung ku daki ku daki juga, yakini akhirnya kebenaran akan mengatasi kebatilan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, beliau sebagai Presiden Umno tetap berpegang kepada amanah parti dan pesanan lebih 3.3 juta ahli untuk mengorak sebuah kebangkitan dan mengembalikan kebenaran buat rakyat serta negara.
“Alhamdulillah kebangkitan yang dirancang dan disusun bersama para pimpinan Umno yang tetap setia kepada perjuangan parti selepas peristiwa 9 Mei 2018 sedang pun berlaku.
“Meskipun jalannya berliku, tetapi langkah parti keramat agama, bangsa dan negara ini untuk sebuah “redemption” tidak pernah terhenti,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, namun beliau menyedari kebatilan juga tidak pernah tidur dan sentiasa mencari peluang untuk menyekat dan meranapkan Umno.
“Segala macam kelicikan sedang direncanakan ke atas Umno dan presidennya tanpa mempedulikan soal penganiyaan, dosa dan pahala demi mempertahankan kuasa dan kedudukan.
“Barangkali juga kerana terlalu takutkan bayang-bayang sendiri setelah segala kejahatan dan pengkhianatan yang dilakukan terhadap parti terbesar orang Melayu ini.
“Setinggi syukur Ya Allah kerana memperlihatkan dengan terang dan nyata kepada kami ahli Umno dan rakyat jelata tentang muslihat pakatan dan ikatan mereka,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid menasihatkan ahli dan pemimpin parti itu supaya tidak membenarkan Umno dipergunakan dan dipecahbelahkan musuh.
“Teguhkan pendirian kami. Kukuhkan kemuafakatan dan penyatuan kami,” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan