HALAMAN SANTAI

Ahad, 5 Disember 2021

Zahid gelabah harga barang naik rakyat marah BN, dia tuding PN, PH

Ketika harga barangan keperluan melonjak sejak hampir sebulan lalu sehingga sekarang, dan rakyat mula marahkan Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula dilihat merayu pengundi muda terus memberi kepercayaan kepada gabungan itu.

Dengan memberi alasan lapuk bahawa BN sudah lama memberi sumbangan dan jasa besar kepada rakyat, Pengerusi BN itu mendakwa pengundi muda akan memberi peluang kepada gabungan itu untuk memerintah.

“Pengundi muda pasti meyakini BN andai mereka sedari kerajaan BN adalah “arkitek” kepada segala kemudahan yang sedang mereka nikmati termasuk pendidikan, kesihatan, etc.

“Pengundi muda pasti mempercayai BN sekiranya mereka diperlihatkan tentang rekod gemilang kerajaan BN dalam memakmurkan dan mensejahterakan tanahair.

“Pengundi muda pasti menyokong BN jika mereka difahamkan tentang kerajaan BN yang tertewas PRU-14 adalah angkara fitnah dan manipulasi politik,” kata Presiden UMNO itu yang kini berdepan puluhan tuduhan jenayah, termasuk rasuah, pecah amanah, penyelewengan dan pengubahan wang haram berjumlah berjuta-juta ringgit.

Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri di bawah pentadbiran BN sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu itu kini berdepan 40 tuduhan menerima rasuah daripada Ultra Kirana Sdn Bhd berhubung VLN kerajaan.

Sebanyak 33 pertuduhan adalah berkaitan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Tujuh pertuduhan lagi, Presiden UMNO itu didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan masih berjalan.

Mengulas lanjut, Zahid dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini turut menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) kerana harga barang naik sekarang ini.

“Begitu juga dalam isu terkini berkaitan kenaikan harga barang yang konon disebabkan BN menang besar PRN Melaka.

“Generasi muda masa kini yang merupakan generasi berpengetahuan mampu menilai sama ada dakwaan itu berasas atau sekadar pembohongan,” katanya.

Zahid yang sebelum ini menyifatkan kerajaan PN gagal menangani wabak Covid-19 di Malaysia sedangkan pandemik itu berlaku di seluruh dunia berbeza pendapat dalam hal kenaikan harga barangan keperluan sekarang ini, yang dikatakannya turut berlaku di seluruh dunia.

Katanya, tiada logik ekonomi bagaimana kemenangan BN di sebuah negeri boleh dikaitkan dengan kenaikan harga barang, sedangkan ia merupakan permasalahan global berikutan peningkatan kos serta kesan permintaan dan penawaran.

“Permasalahan itu menjadi semakin berat disebabkan ketiadaan dasar kontingensi kerajaan 22 bulan dan 17 bulan untuk kemungkinan itu,” dakwa Presiden UMNO itu yang mengaku tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan jenayah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan Yayasan Akalbudi.

Dua belas daripada pertuduhan itu membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan wang berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Pada 19 Mac lepas, pendakwaan telah menutup kesnya selepas memanggil 99 saksi.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah telah mengarahkan pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan bertulis masing-masing pada 28 Mei dan menetapkan 28 hingga 30 Jun serta 1 hingga 2 Julai sebagai tarikh pendengaran bagi hujahan lisan.

Tiada ulasan: