HALAMAN SANTAI

Isnin, 6 Disember 2021

PRU15: BERJASA akan buat kejutan di Parlimen Kapar

Siti Hafidah

Tampil semula calon muslim wibawa, beri perubahan dalam arena politik

BANGI – Demi agama dan bangsa, parti BERJASA tekad mengemukakan semula calon muslim berwibawa untuk bertanding di kerusi Parlimen Kapar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Pada PRU13 lalu, BERJASA bertanding di Parlimen Kapar dengan menawarkan calon muslim berwibawa iaitu Ustaz Pathan Hussin.

Keputusan itu dibuat atas dasar tanggungjawab selepas BN dan PKR masing-masing menampilkan calon bukan muslim bagi mewakili penduduk majoriti.

Difahamkan lebih 60 peratus penduduk Melayu Islam di Parlimen Kapar.

Meskipun tewas, Ustaz Pathan mampu mendapat undi yang begitu memberangsangkan.

Tokoh yang dikenali masyarakat setempat itu berjaya meraih 6,289 undi sekali gus menewaskan beberapa calon Bebas.

Atas dasar itu, BERJASA sekali lagi mengambil keputusan untuk bertanding di Parlimen Kapar pada PRU15 – juga dengan tawaran calon muslim berwibawa.

Ahli Jawatankuasa Pusat (JKP) BERJASA, Hamdan Asadullah berkata, pihaknya berjanji akan membawa perubahan hebat di Kapar khususnya dan di arena politik tanah air secara amnya.

“Kehadiran jentera dari kalangan anak muda, bersama sinergi dan nasihat dari para aktivis yang berpengalaman.

“Insya-Allah BERJASA akan membuat kejutan di Kapar,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Pejabat dan Pusat Gerakan BERJASA Kapar P109 diwujudkan secara rasmi, diketuai Ustaz Pathan bersama Ketua Jentera, Muhammad Amirul Arib Adzhar dalam rangka kerja lawatan Jawatankuasa Pusat BERJASA Malaysia ke kawasan.

Tiada ulasan: