HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Mac 2008

14 Pusat Giat Mara mula beroperasi Julai ini


TANJUNG KARANG: Sejumlah 14 Pusat Giat Mara yang baru akan mula beroperasi Julai depan untuk memberikan latihan kemahiran kepada lebih ramai golongan belia supaya mereka mampu berdikari bagi membina kehidupan yang lebih baik, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar.

Antara Pusat-Pusat Giat Mara yang baru itu adalah di Pandan dan Kota Raja di Selangor, Bandar Tun Razak, Setiawangsa dan Putrajaya (Wilayah Persekutuan), Simpang Renggam, Sikijang dan Air Hitam (Johor), Batu Sapi dan Sepanggar (Sabah) serta Kanowit dan Mambong (Sarawak), katanya pada jamuan kesyukuran sempena pelantikannya sebagai menteri kabinet di sini hari ini, Sabtu.

Beliau yang juga anggota Parlimen Tanjung Karang berkata dengan penambahan 14 Pusat Giat Mara yang baru itu bermakna terdapat 204 pusat sedemikian di seluruh Malaysia bagi melatih beliabeliawanis dengan kemahiran-kemahiran vokasional.

Pusat Giat Mara yang kini mempunyai seramai 10,000 orang pelatih di seluruh negara mempunyai peranan penting bagi memberikan peluang kedua kepada golongan belia kerana pada masa ini hanya 20 peratus daripada golongan ini yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, katanya.

Selain daripada itu pusat-pusat ini yang didirikan hampir di setiap daerah di seluruh negara merupakan satu platform yang sesuai kerana ia adalah institusi latihan yang terhampir di peringkat akar umbi, katanya.

Melalui Pusat Giat Mara para pelatih yang telah menamatkan latihan dan layak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, iaitu di Universiti Kuala Lumpur.

Bagi mereka yang tidak berminat melanjutkan pelajaran tetapi lebih minat bekerja, Noh berkata mereka akan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan di 11 buah syarikat yang mempunyai hubungan dengan kementeriannya seperti Petronas dan Proton.

Jika mereka berminat untuk menjadi usahawan, Pusat Giat Mara akan membekalkan mereka dengan kelengkapan yang diperlukan oleh mereka untuk memulakan perniagaan seperti alatan mengimpal dan mesin jahit, katanya.

Selain daripada itu, beliau berkata elaun pelatih-pelatih Pusat Giat Mara yang ketika ini RM100 sebulan akan dikaji semula supaya ia dapat disesuaikan dengan keadaan semasa.

Noh juga berkata pegawai-pegawai Mara Daerah akan dikenali sebagai Pegawai Pembangunan Usahawan Daerah kerana di bawah pendekatan baru yang diperkenalkan mereka bukan hanya bertanggungjawab menyelia kegiatan Mara di peringkat daerah tetapi juga pengagihan pinjaman di bawah Tekun, kegiatan Pusat Giat Mara dan Jabatan Pembangunan Koperasi di daerah masing-masing.

Sebelum ini pegawai-pegawai Tekun, Pusat Giat Mara dan Jabatan Pembangunan Koperasi beroperasi secara bersendirian di setiap daerah tetapi memandangkan kesemua mereka di bawah kementerian yang sama, eloklah operasi mereka diselaraskan dan diselia oleh Pegawai Pembangunan Usahawan Daerah bagi memudahkan kementerian membantu golongan belia ini terutamanya yang ingin memulakan perniagaan sendiri, kata beliau lagi.

Noh berkata bagi tempat-tempat yang jauh daripada Pusat Giat Mara yang terdekat seperti di Sabah dan Sarawak, pihak kementerian akan membenarkan Pusat Giat Mara di kawasan berkenaan menubuhkan cawangan di kampung-kampung bagi memberikan latihan kemahiran kepada golongan belia. BERNAMA

Tiada ulasan: