HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Mac 2008

"Pertikaian MB tak pernah berlaku sebelum ini" Mahathir sindir Abdullah
Oleh AP, AFP


Kuala Lumpur: Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam menyindir Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkaitan pertikaian beliau dengan Sultan Mizan Zainal Abidin tentang pelantikan Menteri Besar Terengganu.

Dalam satu surat yang disiarkan di akhbar The Sun semalam, Dr Mahathir berkata:

'Perlu diketahui perkara macam ini tidak pernah berlaku semasa pemerintahan empat perdana menteri sebelum ini. Rakyat Malaysia yang prihatin harus menyoal kenapa perkara ini berlaku,' kata Dr Mahathir.

Minggu lalu, Sultan Mizan telah menolak usul Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah untuk melantik Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu dan sebaliknya melantik Datuk Ahmad Said.

Dalam surat itu, Dr Mahathir turut mendakwa ada orang yang cuba mengorek bukti jenayah yang dilakukan semasa pemerintahannya bagi menghalang beliau daripada mengkritik Datuk Seri Abdullah.

'Saya sedar ada orang yang sedang mencari kesalahan yang saya lakukan sepanjang 22 tahun memerintah untuk mengancam saya dan membuat saya tutup mulut.

'Sejauh ini, mereka belum jumpa apa-apa. Saya bukan saja tidak mengambil sesuatu yang bukan milik saya semasa saya menjadi Perdana Menteri tetapi saya telah kembalikan kepada kerajaan dan rakyat semua yang saya terima sebagai hadiah sepanjang saya berkuasa,' katanya.

Dr Mahathir berkata beliau tidak mungkin didapati membuat sebarang salah laku, kecuali jika beliau dianiaya.

'Tuduhan-tuduhan lain terhadap saya, termasuk pemecatan hakim, bukan disebabkan oleh saya dan saya tidak rasa bertanggungjawab untuk meminta maaf,' tambahnya.

Beliau mendakwa kerajaan Barisan Nasional telah melaksanakan banyak projek infrastruktur yang 'sama sekali tidak perlu dan membazir' di Terengganu sejak 2004.

Tiada ulasan: