Penduduk Bukit Koman fail permohonan bagi semakan kehakiman
KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Bukit Koman, Raub, Pahang hari ini memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini terhadap keputusan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang meluluskan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi cadangan melombong emas di lombong emas Bukit Koman.
Laporan EIA itu dikemukakan oleh syarikat Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd (RAGMSB) pada 27 Ogos 1996 dan diluluskan oleh Ketua Pengarah JAS pada 13 Jan 1997, tetapi menurut Jawatankuasa Bertindak Menentang Penggunaan Sianida Dalam Perlombongan Emas Lombong Bukit Koman, penduduk Kampung Bukit Koman tidak dijamin bahawa penggunaan sianida bagi aktiviti melombong oleh RAGMSB tidak akan menjejaskan kesihatan dan mencemarkan alam sekitar mereka.
Permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman itu difailkan oleh empat wakil penduduk terdiri daripada Wong Kin Hoong, Chong Sow Pin, Hue Fui How dan Mustapha Hussin di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasakuasa Khas) melalui firma guaman Tetuan Meena Raman & Partners dan pemohon menamakan Ketua Pengarah JAS dan RAGMSB masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.
Mereka memohon deklarasi bahawa laporan EIA untuk cadangan melombong dan mengekstrak emas daripada hampas lombong lama di Bukit Koman yang dikemukakan oleh RAGMSB kepada Ketua Pengarah JAS tidak menepati kehendak dan peraturan serta garis panduan Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS).
Mereka juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan responden pertama bertarikh 13 Jan 1997 yang meluluskan laporan EIA tersebut, selain memohon deklarasi bahawa keputusan responden pertama pada 21 Feb lepas yang menolak permohonan jawatankuasa bertindak supaya RAGMSB dikehendaki menyedia dan mengemukakan laporan EIA yang baru dan terperinci adalah tidak adil dan tidak munasabah.
Wakil penduduk menyatakan keputusan responden pertama itu melanggar prinsip keadilan dan peruntukan Seksyen 34 Akta Kualiti Alam Sekeliling serta melanggar hak asasi mereka dan seterusnya memohon perintah mahkamah membatalkan keputusan itu.
Mereka juga memohon deklarasi bahawa sebelum responden kedua memula atau meneruskan sebarang aktiviti yang dicadangkan di lombong tersebut, ia perlu terlebih dahulu mengemukakan laporan EIA yang baru dan terperinci untuk pertimbangan dan keputusan responden pertama.
Mereka memohon mahkamah memerintahkan responden pertama supaya mengeluarkan perintah berhenti kerja terhadap responden kedua sehingga responden itu mengemukakan laporan yang baru dan terperinci dan sehingga responden pertama membuat keputusan terhadap laporan berkenaan.
Secara alternatif, mereka juga memohon injunksi dikeluarkan terhadap responden kedua supaya responden itu tidak memulakan atau meneruskan sebarang aktiviti yang dicadangkan di lombong emas itu sehingga ia menyediakan laporan EIA yang baru dan terkini yang dinilai dan diputuskan responden pertama.
Seterusnya jika dibenarkan mahkamah untuk meneruskan dengan semakan kehakiman, mereka memohon penggantungan terhadap prosiding dan keputusan responden pertama bertarikh 13 Jan 1997 yang meluluskan laporan EIA responden kedua. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan