"Terima Ahmad Said, Umno jilat najis sendiri" Pemuda PAS
DEWAN Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) tertarik dengan pendekatan politik terdesak Umno yang akhirnya terpaksa tunduk dengan kehendak Sultan Terengganu selepas penat ‘bersilat’ menderhakai istana Terengganu itu.
Keputusan yang diambil oleh MT Umno semalam dipercayai selepas mempertimbangkan kemungkinan Umno/BN akan kehilangan kuasa di Terengganu dan krisis politik dengan Istana Negara di peringkat Pusat.
Kerana bimbangkan kehilangan kuasa tersebut, Umno terpaksa menjilat najisnya sendiri yang selama ini cuba dicampakkan ke muka Tuanku Sultan Terengganu.
Umno semenjak kemenangan pilihan raya pada 8 Mac 2008 telah bersikap kurang ajar, biadap dan derhaka terhadap Sultan Terengganu apabila menamakan Idris Jusoh sebagai Menteri Besar walaupun istana telah memberi isyarat untuk tidak menerimanya.
Apabila istana menamakan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar, para pemimpin Umno dari Pusat dan negeri terus-menerus menyerang tindakan sultan, sehingga ada yang mengeluarkan ugutan.
Perdana Menteri menuduh tindakan sultan ‘tidak mengikut Perlembagaan’, manakala Peguam Negara cuba digunakan untuk ‘mengajar’ Sultan Terengganu.
Setiausaha Agung dan Presiden Umno pula mengancam untuk memecat Ahmad Said, manakala Umno Terengganu sudah memecatnya.
Lebih biadap lagi apabila para pemimpin Umno yang menolak pilihan sultan mahu mengenakan undi tidak percaya terhadap Ahmad Said, selain mengugut untuk meletakkan jawatan.
Selepas dua minggu melancarkan serangan ke atas istana Terengganu dan pengikut-pengikut mereka mula biadap dengan menggelarkan Sultan Terengganu sebagai ‘natang’ (binatang), akhirnya Setiausaha Umno Terengganu mengakui bahawa semua tindakan biadap dan derhaka mereka ini adalah atas arahan Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi.
Abdullah sebagai Presiden Umno dan ketua kerajaan telah melakukan satu tindakan yang amat memalukan bagi rakyat negara ini kerana mengarah satu perbuatan biadap terhadap Sultan Terengganu yang juga Yang di-Pertuan Agong.
Bagi DPP Pusat, tindakan MT Umno semalam untuk mengiktiraf Ahmad Said memang akan menyelesaikan kemelut politik di Terengganu, tetapi ia tidak akan dapat menyembuh luka di hati Sultan dan rakyat Terengganu seluruhnya.
Tidak pernah dalam sejarah orang Melayu bersikap begitu biadap terhadap sultan sedangkan baginda bertindak demikian untuk membela keadilan bagi pihak rakyat.
Kita biasa mendengar raja-raja ditentang kerana kezaliman mereka, tetapi hari ini raja yang adil cuba diderhakai oleh pemimpin zalim BN.
Akhirnya, hukum karma menimpa Umno apabila terpaksa mengalah di atas kezaliman mereka dan tunduk kepada kemahuan sultan.
Apapun, Umno telah menjilat najisnya sendiri yang sebelum bertegas mahu menolak Ahmad Said sehingga mencemarkan nama baik istana.
Memorandum Istana isu MB Terengganu
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Mengadap Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Al Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billal Shah, yang ada dengan beberapa amat kemuliaan dan kebesarannya.
Dengan sembah dan salam takzim, Ampun Tuanku beribu-ribu ampun.
Adalah dengan ini patik Salahuddin bin Ayub, selaku Ketua Dewan Pemuda, Parti Islam Se Malaysia (PAS) yang mewakili seluruh saf pimpinan dan ahli-ahli parti serta rakyat Malaysia, dengan ini mengangkat sembah menyatakan ketaatan patik semua ke bawah Duli Tuanku dan sokongan patik semua atas perkenan Duli Tuanku dalam perkara perlantikan Menteri Besar Negeri Terengganu.
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,
Patik semua percaya kebijaksanaan dan keadilan Duli Tuanku selama ini dalam menentukan kepemimpinan bagi negeri Terengganu akan memberikan suasana terbaik bagi masa depan rakyat Terengganu khususnya dan Malaysia amnya.
Patik semua juga percaya bahawa negeri Terengganu sangat memerlukan kepemimpinan yang beramanah, adil dan bersih serta mampu menjaga keharmonian dan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri Terengganu.
Patik semua berdoa kepada Allah Subhanahu Wa Taala agar melimpahkan rahmatNya ke atas Duli Tuanku atas usaha dan perkenan Duli Tuanku memayungi kesejahteraan rakyat Terengganu dan Malaysia seluruhnya.
Patik yang merafakkan sembah,
SALAHUDDIN BIN AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS
20 Rabiul Awal 1429/ 28 Mac 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan