HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Mac 2008

KENYATAAN MEDIA

Arah Boikot Keputusan Istana: Presiden Umno Patut Dikenakan Tindakan


Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius kenyataan Setiausaha Umno Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang mendakwa tindakan biadap mereka memboikot Menteri Besar yang dilantik oleh Istana Terengganu, Datuk Ahmad Said adalah berasaskan arahan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Bagi DPP Pusat, perbuatan biadap Presiden Umno ini telah menyebabkan berlakunya penderhakaan terhadap Sultan secara terbuka oleh ahli-ahli Umno Terengganu yang akhirnya boleh menggugat kestabilan politik negara.

Kesan daripada arahan Presiden Umno tersebut, kesemua ADUN BN kecuali Datuk ahmad Said telah bertindak menyokong Datuk Seri Idris Jusoh walaupun istana telah menolak bekas Menteri Besar itu. Dalam masa yang sama 23 ADUN BN itu turut membawa penyokong mereka mengadakan perhimpunan haram di Kuala Terengganu untuk membantah istana. Rosol Wahid sebagai juru cakap kumpulan 23 ADUN BN ini juga telah mengeluarkan ugutan kepada Sultan untuk memulau Menteri Besar termasuk untuk tidak hadir majlis angkat sumpah. Mereka juga mengancam untuk meletak jawatan selain membuat ugutan untuk memecat Ahmad Said sebagai ahli Umno.

Perbuatan biadap dan derhaka 23 ADUN BN atas arahan Presiden Umno ini kemudian mengundang perbuatan biadap penyokong mereka. Selain mengadakan perhimpunan haram dan menghantar memorandum bantahan kepada istana, mereka telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada istana. Kemuncaknya, penyokong Idris yang ‘taat’ kepada arahan Presiden Umno itu telah menggelarkan Sultan Terengganu sebagai ‘natang’ (binatang). Kini setiap hari juak-juak Presiden Umno berhimpun secara haram di Kuala Terengganu dan di Kuala Lumpur, 23 ADUN tersebut mengadakan sidang akhbar untuk menyerang Ahmad Said atau Istana Terengganu. Presiden dan Setiausaha Agung Umno pula dilaporkan memberi kata dua kepada Ahmad Said supaya tidak menerima watikah daripada Sultan Terengganu.

DPP Pusat berpandangan perkembangan politik derhaka Umno Terengganu ini mempunyai kaitan yang rapat dengan arahan Presiden Umno tersebut. Semua bentuk penderhakaan dan kebiadapan mereka adalah didorong oleh arahan tersebut. Kerana itu, DPP Pusat merasakan bahawa Presiden Umno mesti dikenakan tindakan undang-undang sama ada di bawah Akta Hasutan atau ISA kerana mengancam keselamatan dan kestabilan politik negara. Presiden Umno itu juga tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana mengarahkan satu ‘perang terbuka’ ke atas Sultan Terengganu yang juga Yang di-Pertuan Agong. Adalah tidak munasabah pemimpin sebuah parti derhaka seperti Umno untuk memimpin negara yang diketuai oleh raja yang diderhakainya.


SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

Tiada ulasan: