HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Mac 2008

ProWaris desak PM letak jawatan
Ali Bukhari Amir


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris) mendesak Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatannya berikutan kegagalan beliau dalam mempertahankan prestasi kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya sebelum ini.

"BN di bawah Abdullah telah gagal menyelamatkan jumlah kerusi Parlimen dan hal kehilangan negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor kepada Barisan Rakyat (BR) adalah petanda jelas tentang wujudnya semacam protes rakyat secara besar-besaran ke atas BN.

"Kekalahan teruk BN dan Umno dalam pilihan raya kali ini telah membuktikan Abdullah adalah pemimpin Melayu paling lemah dalam tempoh 50 tahun belakangan ini," demikian kata Presiden ProWaris Feriz Omar menerusi laman sesawang pertubuhan itu.

Menurutnya, hal kegagalan merampas kembali Kelantan buat penggal ke-5 dan kehilangan banyak kerusi Parlimen di Kuala Lumpur yang gagal dihidu BN jelas menunjukkan kelemahan kepimpinan Abdullah selaku Pengerusi BN dalam mengemudikan jentera-jentera pilihan raya sebelum ini.

"Jentera-jentera Umno dan BN telah bekerja sebaik mungkin untuk memastikan kemenangan pilihan raya kali ini menjadi milik BN. Tapi, isu keperibadian Abdullah dalam memimpin, isu Khairy mempengaruhi keputusan Abdullah, isu Scomi mengaut kontrak-kontrak kerajaan dan perilaku tidak senonoh beberapa pimpinan Umno dan BN adalah punca utama protes rakyat ke atas Umno dan BN.

"Perkembangan negatif ini amat menggusarkan Umno dan orang Melayu seluruh negara kerana sejak kemenangan pilihan raya lalu, Abdullah telah menunjukkan banyak kelemahan ketara dalam struktur pentadbiran yang akhirnya dibuktikan dengan kekalahan teruk Umno dan BN dalam pilihan raya terbaru," kata Feriz.

Menurut beliau, kegagalan Abdullah mempamerkan contoh moral positif Islam Hadhari, menangani isu kenaikan harga minyak, harga barang, peningkatan peratusan jenayah yang mendadak, ketagihan dadah yang makin kritikal, murtad, kelembapan ekonomi negara, dan pelbagai masalah lain lagi telah menyebabkan Abdullah dilihat sebagai Perdana Menteri yang cuai dan lalai.

"Semua isu ini sekali gus menunjukkan bahawa beliau telah gagal menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh rakyat dengan penuh cekap dan berkesan.

"Hubungan Abdullah di peringkat antarabangsa menunjukkan bahawa peranan yang dimainkan beliau adalah tidak berkesan malahan beliau dilihat sebagai pemimpin yang hanya mencukupkan korum lantas gagal menaikkan nama Malaysia di mata dunia terutamanya di mata para pemimpin negara-negara Islam," katanya.

Abdullah perlu letak jawatan demi maruah bangsa Melayu

Demi tanggungjawab dan maruah Melayu, tambah beliau, selurus ahli ProWaris mendesak dan menuntut Abdullah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno dalam masa terdekat.

"Percayalah, Abdullah akan terus dikaburi pimpinan atasan dan orang sekelilingnya atas sebab-sebab tertentu walhal begitu banyak sepanduk, surat dan kenyataan yang mendesak beliau berundur sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno berselerakan di seluruh tanahair.

"ProWaris khuatir protes rakyat Malaysia ini akan berpanjangan sekali gus menyemarakkan gerakan revolusi akar umbi terhadap kepimpinan tertinggi Umno dan BN yang akhirnya memberi kesan negatif terhadap produktiviti negara sekiranya Abdullah terus memandang remeh terhadap kehendak rakyat," kata beliau.

Menurut Feriz, ProWaris berpendapat bahawa tiba masanya orang Melayu bebas memilih pemimpin mereka dan menentukan masa depan mereka sendiri.

"Orang Melayu tidak lagi boleh tunduk kepada kelemahan dan kealpaan pemimpin mereka yang berterusan mengugut dan menuntut kesetiaan orang Melayu semata-mata demi 'survival' mereka yang telah menghancurkan amanah, harapan dan maruah bangsa Melayu.

"ProWaris ingin melihat kehadiran seorang pemimpin Melayu yang tidak menderhaka kepada rakyat dan benar-benar menitikberatkan masa depan negara dan orang Melayu khasnya. Golongan seperti inilah yang perlu diberi peluang dan mandat mengembalikan maruah Umno dan BN untuk menerajui negara ke arah Wawasan 2020," kata beliau.

Tiada ulasan: