Kit Siang kecewa kabinet reformasi PM lemah
Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Ahli politik Veteran DAP, Lim Kit Siang sekali lagi meluahkan rasa kecewanya terhadap barisan kabinet 'reformasi' Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang gagal melakukan sebarang perubahan bermakna.
Keadaan sebenarnya berbeza sama sekali dengan kenyataan Perdana Menteri yang kononnya melakukan perubahan demi rakyat, katanya.
Abdullah sering menyatakan kesediaannya untuk mendengar suara rakyat selepas keputusan paling buruk BN dalam sejarah pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Beliau juga mengakui kerajaan Abdullah lambat menjalankan reformasi seperti janji-janjinya dalam pilihan raya umum 2004 sehingga pengundi menolak BN kali ini.
Beliau mengkritik keengganan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar membebaskan lima pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) baru-baru ini.
Ia termasuk M Manoharan yang menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kota Alam Shah baru-baru ini yang kini masih berada di bawah tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Pada 28 Mac lalu, Syed Hamid berkata M Manoharan tidak boleh berada "di dua tempat dalam satu waktu" apabila ditanya sama ada wakil rakyat DAP itu boleh menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri Selangor.
Mengulas lanjut Kit Siang mengecam tindakan itu yang disifatkan sebagai tidak ada perubahan yang dilakukan oleh kerajaan Abdullah meskipun kononnya berkata mahu mendengar suara rakyat. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan