HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Mac 2008

Pekerja Majlis Bandaraya Melaka didakwa cabut bendera PAS
Harakahdaily


MELAKA (Hrkh) - Pemimpin Umno-BN negeri ini diingatkan supaya mengambil iktibar dan insaf akan kejatuhan rakan-rakan mereka di Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang, sebelum bertindak rakus terhadap kegiatan parti saingan mereka.

Terbaru, pemimpin Umno-BN didakwa terbabit bersengkokol dengan pihak berkuasa kerajaan tempatan (Majlis Bandaraya Melaka Bandaraya Bersejarah - MBMB) menceroboh premis persendirian dan mencabut bendera PAS yang dipasang di kawasan berkenaan.

Seorang aktivis PAS di Semabok, dekat sini, Kamaruddin Adam, mendakwa sejumlah kakitangan MBMBB yang menaiki sebuah lori telah bertindak memasuki kawasan rumahnya dan mencabut sejumlah bendera PAS yang sentiasa dipacakkan dan dikibarkan di pekarangan kediamannya.

Kata Kamaruddin, beliau yakin petugas itu kakitangan MBMBB berdasarkan pakaian mereka dan nama MBMBB yang tertera pada lori itu. Beliau bercadang mengambil tindakan lanjut berhubung kejadian kira-kira jam 11.00 pagi pada 25 Mac itu.

Beliau berkata, tindakan kakitangan MBMBB itu keterlaluan kerana mereka telah menceroboh kediamannya yang sah sebagai premis persendirian yang terletak berhampiran Simpang Semabok.

Kamaruddin mendesak pihak berkenaan mengembali dan memasang kembali bendera-bendera itu. "Saya harap mereka insaf dan dapat mengambil iktibar akan nasib pemimpin-pemimpin takbur di Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang," katanya. - lanh

Tiada ulasan: