HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Mac 2008

Tawaran anggotai Exco Perlis, Adun PAS sedia berkhidmat
Bashir Ishak

"Saya belum menerima sebarang tawaran untuk menganggotai mana-mana jawatankuasa Exco kerajaan negeri," demikian jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS kawasan Simpang Empat Rus'sele Eizan.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan kedudukannya seperti yang diberitakan sebelum ini akan dilantik menganggotai salah sebuah jawatankuasa Exco kerajaan negeri.

"Apapun yang diberitakan itu cuma kenyataan daripada Menteri Besar, Dr Md Isa Sabu dan saya belum menerima sebarang tawaran rasmi," jelasnya.

Bagaimanapun menurutnya, sekiranya diberikan tawaran beliau akan berbincang dengan pimpinan PAS negeri terlebih dahulu sebelum menerima sebarang jawatan yang diberikan.

"Sekiranya saya menyertai mana-mana jawatankuasa saya bersedia menyumbangkan buah fikiran dan pandangan saya untuk kepentingan rakyat di negeri ini," katanya.

Amalan melantik Adun PAS menganggotai jawatankuasa exco kerajaan negeri bukanlah amalan baru bagi negeri Perlis.

Sebelum ini dua orang wakil PAS iaitu Cikgu Taharim Ariffin (Adun Utan Aji,1964-1969) dan Cikgu Shuib Muhammad (Adun Bintong, 1982-1986) pernah dilantik menganggotai jawatankuasa berkenaan. - mks.

Tiada ulasan: