Mahkamah mula dengar kes Dun Sanglang pada 3 April
Bashir Ishak
KANGAR (Hrkh) - Permohonan Saman Pemula bagi kes melibatkan keputusan Pilihan raya Umum (PRU) Dun N.15 Sanglang akan didengar di Mahkamah Tinggi Kangar pada 3 April akan datang.
Permohonan tersebut dibuat di dalam kamar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Tuan Zamani A. Rahim pagi tadi dan diputuskan akan mula dibicarakan pada tarikh tersebut.
Dalam PRU ke-12 yang lalu, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin yang bertanding mempertahankan kerusi tersebut diisytiharkan kalah kepada pencabarnya, Abdullah Hassan dengan majoriti 149 undi.
Bagaimanapun berlaku kesilapan semasa mengisi nama calon pada borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi).
Dalam borang tersebut di saluran 2 Sekolah Kebangsaan Padang Keria, nama Ustaz Hashim ditulis di ruangan atas sedangkan di semua saluran lain namanya berada di bawah.
Semasa penjumlahan di Dewan Sivik Arau, apabila dikira semua undi bagi calon yang namanya berada di atas pada borang 14, Abdullah mendapat 3384 undi dan Ustaz Hashim mendapat 3235 undi. Dengan itu Abdullah diisytiharkan menang dengan majoriti 149 undi.
Keadaan sebenarnya, Ustaz Hashim sepatutnya mendapat 3333 undi dan Abdullah mendapat 3286 undi dan Ustaz Hashim menang dengan majoriti 47 undi.
Saman Pemula ini dibuat oleh Plaintif, Ustaz Hashim ke atas Defendan, Abdullah Hassan (Calon BN), Mohammad Daud Abdul Hamid (Pegawai Pengurus Pilihanraya Bahagian Arau) dan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR).
Permohonan tersebut menuntut untuk mendapatkan perintah deklarasi bahawa Defendan Kedua (Mohammad Daud) dan Defendan Ketiga (SPR) telah melakukan kesilapan mengisytiharkan Defendan Pertama (Abdullah) sebagai calon yang menang sebagai AHli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam PRU ke 12 bagi bahagian N.15 Sanglang.
Plaintif juga memohon deklarasi bahawa beliau adalah calon yang menang dan sewajarnya dipilih sebagai Adun.
Begitu juga, plaintif memohon perintah mengarahkan SPR selaku defendan ketiga mewartakan keputusan PRU ke-12 bagi Dun N.15 Sanglang dimenanginya dan dipilih sebagai Adun.
Ustaz Hashim diwakili oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin dan Zulmi Sabri.
Kira-kira 50 orang pimpinan dan ahli PAS turut berada di Kompleks Mahkamah Tinggi Kangar pagi tadi untuk sama-sama memberikan sokongan moral kepada Ustaz Hashim. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan