HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Mac 2008

KENYATAAN AKHBAR

Bekalan Air 20 Meter Padu Percuma Untuk Isi Rumah

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor telah mengkaji rancangan untuk membekalkan 20 meter padu air secara percuma kepada isi rumah di Selangor seperti biasa melalui pembekalan air terawat oleh SYABAS dan mendapati bahawa rancangan tersebut boleh dilaksanakan bagi meter individu untuk pengguna kediaman. Hari ini Kerajaan Negeri Selangor membuat keputusan untuk melaksanakannya bermula pada 1 Jun 2008.

Kerajaan Negeri telah membuat kajian berhubung mekanisme untuk melaksanakan dasar ini dan sedang menimbangkan mekanisme terbaik bagi menjaga kepentingan kerajaan negeri, alam sekitar dan orang ramai. Tujuan Kerajaan Negeri memperkenalkan dasar ini ialah bagi meringankan beban kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Justeru, rakyat masih perlu mengamalkan penggunaan air secara berhemah serta bertanggungjawab bagi mengelak pembaziran sumber agar sumber air negeri Selangor dapat dipelihara dalam jangka masa yang panjang.

Bagi membantu usaha ini, Kerajaan Negeri turut akan memperkenalkan langkah mempelbagaikan sumber bekalan air secara menyeluruh dalam masa terdekat.

Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim

Dikeluarkan oleh:
Sekretariat Akhbar
Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor
29.03.2008

Tiada ulasan: